Keluarga yang sejahtera merupakan matlamat utama dalam setiap perkahwinan. Tidak kira apa jua latar belakang individu, agama, bangsa dan status, setiap daripada individu pasti menginginkan kebahagiaan. Keluarga yang bahagia akan menjadi penanda aras kepada satu sistem masyarakat yang harmoni dan melahirkan generasi yang hebat. Hal ini kerana, kehebatan masyarakat dan negara adalah berasaskan kehebatan institusi keluarga. Bahkan, berdasarkan tafsiran dari Surah al-Rum ayat 21 di dalam al-Quran, perkahwinan dibina bertujuan untuk menikmati ketenangan, kasih sayang dan rahmah dalam rumah tangga. Namun, dalam melayari bahtera rumah tangga, pasangan suami dan isteri sudah pasti berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk mencapai matlamat perkahwinan bagi mengekalkan keharmonian dalam rumah tangga. Salah satu cabaran besar yang dihadapi dalam institusi keluarga ialah berhadapan dengan pasangan ataupun anak yang terlibat dengan penagihan dadah. Pada tahun lalu, Malaysia telah digemparkan dengan kes seorang anak yang memenggal kepala ibunya disebabkan dadah. Beberapa siri kes keganasan rumahtangga dan kematian juga dilaporkan didada akhbar ekoran dari angkara penagihan dadah. Statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari tahun 2015 hingga 2018 pula menunjukkan sebanyak 83 peratus daripada 309 kes keganasan rumah tangga adalah berpunca daripada penagihan dadah.
Sejak dahulu lagi, dadah sememangnya dikenali sebagai musuh nombor satu negara yang membawa kehancuran kepada generasi manusia. Bahkan kempen dan usaha yang dijalankan termasuklah wujudnya pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan yang bekerja keras menjalankan usaha dan fungsi besar meredakan polemik dadah ini. Acapkali slogan ‘Lebih Baik Cegah’ berkumandang tetapi selagi mana setiap individu tiada rasa bertanggungjawab untuk bersama-sama memastikan gejala dadah ini dibanteras, maka selagi itulah dadah akan terus kekal menetap, menyelinap dan merebak masuk ke dalam ruang sisi kehidupan masyarakat. Hari ini anda dan keluarga barangkali terselamat kerana tidak terjebak dengan kancah najis dadah, namun adakah ia menjadi jaminan anak generasi pada masa hadapan bebas dari dadah?
Jika ditelusuri, dadah ini adalah bahan yang disalahguna oleh individu bagi mencari keseronokan sementara meskipun berakhir dengan penderitaan yang tidak terduga. Bahan yang asalnya digunakan dalam perubatan untuk memberi manfaat, tetapi berhujung mudarat sekiranya dimanipulasi untuk kepentingan diri. Dadah mengikut takrif Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) adalah bahan psikoaktif yang digunakan bukan untuk tujuan perubatan dan penggunaannya dilarang. Bahan ini juga boleh menyebabkan pergantungan secara fizikal dan psikologikal serta toleran yang meningkat kepada penggunanya. Ini menunjukkan penggunaan dadah secara konsisten bukan sahaja menyebabkan pergantungan, malah menyebabkan pengguna ketagih dos yang lebih tinggi dari masa ke semasa untuk mendapatkan kesan yang sama.
Implikasi pengambilan dadah bukan sahaja memberi kesan kepada sistem biologikal diri seseorang seperti kerosakan saraf, hilang kewarasan dan mengundang pelbagai penyakit bahaya, malahan berlaku perubahan tingkah laku seperti menipu, mencuri, kelangsangan sehingga sanggup membunuh untuk mendapatkan wang membeli bahan berkenaan. Dalam konteks yang lebih besar, dadah juga terbukti meruntuhkan institusi keluarga, mengundang perceraian, dan membawa masalah dalam masyarakat seperti jenayah, pemulauan dan sengketa disebabkan kemerosotan ekonomi keluarga dan ketirisan wang asbab kebergantungan terhadap dadah. Boleh dikatakan individu yang menjadi penagih, pengedar, penjual, pembekal sehinggalah kepada pengeluar dadah ini bersifat ‘mementingkan diri’ tanpa mengira natijah daripada bahan haram yang disalahguna ini kepada individu, masyarakat dan negara. Bahkan dalam agama Islam juga, banyak tegahan mahupun larangan terhadap arak, sesuatu yang memabukkan dan memudaratkan diri. Istilah al-Mukhaddarat dalam Bahasa Arab juga menjelaskan sesuatu yang membawa kepada ketidakwarasan akal dan hilangnya pertimbangan bersabit dengan hukum larangan terhadap dadah dan alkohol.
Hakikatnya, manusia adalah ‘Zoon Politicon’ atau makhluk sosial mengikut pandangan dari Aristotle, seorang ahli falsafah Yunani kuno. Istilah ‘Zoon Politicon’ bermaksud manusia itu sebagai mahkluk yang pada dasarnya selalu ingin bergaul dan berkumpul dengan manusia lain serta suka hidup bermasyarakat. Oleh yang demikian, manusia dilihat bertanggungjawab terhadap komuniti yang didiami. Dalam konteks yang lebih asas, masyarakat terdiri dari kumpulan institusi keluarga. Justeru, tema “Pencegahan Dadah Bermula dari Rumah” memperlihatkan peranan dan fungsi keluarga adalah signifikan dan amat penting dalam memastikan pendedahan, larangan menjauhi serta keburukan dadah diserap diperingkat akar umbi seawal kanak-kanak lagi. Ibu dan bapa merupakan sistem sokongan terbesar bagi anak-anak dan mereka perlu mendidik dan mengasuh anak-anak mereka dengan ilmu, amal dan praktis yang sihat serta selamat.
Sambutan hari anti dadah yang disambut pada 19 Februari setiap tahun merupakan satu peringatan dan tanggungjawab rakyat Malaysia untuk bersama-sama berganding bahu bagi membanteras gejala penagihan dadah. Hal ini kerana, ia boleh merosakkan keamanan, keharmonian dan kemajuan negara dan sekiranya ia tidak dikekang sejak awal lagi, negara akan kehilangan golongan muda yang bakal menjadi pewaris dalam menerajui tampuk pemerintahan negara masa hadapan. Jangan biarkan dadah menjajah kehidupan kita kerana ianya boleh menjejaskan kesejahteraan kehidupan dan kebahagiaan keluarga.
Penulis:
Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz |
---|