Cabaran dakwah di Jepun ketika COVID 19

 

Dunia kini sedang hangat dengan isu wabak penyakit yang meragut hampir puluhan ribu nyawa di seluruh negara. Corona virus (COVID-19) merupakan satu virus yang bermula daripada negara China di daerah Wuhan. Wabak ini telah merebak di seluruh dunia termasuk di negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Iran, Itali dan sebagainya. Kebanyakkan negara telah mengeluarkan perintah berkurung dan kawalan pergerakan sebagai satu inisiatif bagi mengurangkan jumlah kematian dan jumlah masyarakat yang akan dijangkiti daripada virus ini. COVID-19 yang tersebar sejak akhir tahun lalu turut memberi impak yang besar dari sudut ekonomi negara.

Jepun adalah antara negara yang tidak lari daripada  penularan pandemic COVID 19. Seperti yang kita sedia maklum, Jepun merupakan salah sebuah negara maju yang dikenali dengan kuasa ekonomi dan kewangan negara yang  cukup hebat. Kami tiba di bumi matahari terbit ini sekitar awal Februari, dan ketika itu wabak COVID 19 masih belum tersebar luas di bumi Jepun.  Namun sebulan kemudian kerajaan Jepun mengumumkan  penutupan sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi mengekang wabak COVID-19. Tenaga kerja Jepun juga diarahkan beroperasi dari rumah dan 2020 Tokyo Olympic juga ditangguhkan ke tahun hadapan.

Rakyat Jepun dinasihatkan untuk tetap berada dirumah pada hujung minggu, menghadkan pergerakan untuk berada di tempat yang sesak dan menjaga kebersihan diri dengan sebaiknya. Kebanyakkan tempat-tempat menarik di Jepun juga di tutup. Selain itu, Pesta Hanami (Bunga Sakura) juga ditangguhkan demi menjaga keselamatan semua.Dari pemerhatian kami, masyarakat Jepun dilihat amat patuh dengan arahan yang diberikan oleh kerajaannya. Tiada polis atau pun tentera dilihat di tempat-tempat awam untuk memastikan rakyatnya menurut arahan.  Hasilnya, walaupun jangkitan COVID-19 di Jepun semakin meningkat  tetapi jumlah yang terjangkti COVID-19 di Jepun masih dalam keadaan yang  terkawal.

Wabak COVID-19 di Jepun sedikit sebanyak telah memberi kesan dan impak terhadap latihan praktikal atau internship kami di sini. Kami menjalani latikhan praktikal di Japan Da’wah Centre (JDC), Osaka dan tugas utama kami adalah untuk menyampaikan kefahaman Islam di bumi matahari terbit ini. Sebelum wabak COVID-19 berada ditahap yang membimbangkan, kami sempat menjalankan beberapa aktiviti bagi menyantuni dan memperkenalkan Islam kepada warga Jepun. Namun apabila wabak COVID-19 semakin hari semakin serius, kami dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan mamatuhi segala undang-undang yang dikeluarkan seperti tidak ke tempat awam untuk menjalankan sebarang aktiviti luar seperti Street Da’wah yang melibatkan pertemuan dengan orang lain. Kebanyakkan aktiviti yang kami rancang terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan serta merta. Ini merupakan cabaran besar yang perlu kami hadapi dan secara tidak langsung membuka minda kami untuk berfikir di luar kotak mengenai metode penyampaian Islam kepada warga Jepun walaupun dalam keadaan yang terhad dan tidak dibenarkan keluar.

Beberapa pendekatan telah kami lakukan demi memastikan penyampaian mesej Islam buat warga Jepun terus berjalan walaupun dalam tempoh kawalan pergerakan. Antaranya adalah dengan membuat penulisan ilmiah menerusi media sosial seperti Facebook dan juga di laman web rasmi Japan Da’wah Centre (JDC). Selain itu, kami juga melakukan sesi pembelajaran secara maya bersama masyarakat Jepun. Adapun begitu, aktiviti da’wah di JDC masih diteruskan kerana beberapa warga Jepun yang menetap berhampiran datang untuk belajar tentang Islam. Pada masa yang sama, kami turut bertandang ke pusat agama lain sekitar JDC. Ini penting bagi kami dalam memberikan pemahaman dan mendapatkan penerangan yang jelas berkaitan fahaman yang dianuti di Jepun.

Pengalaman menyebarkan syiar Islam di negara matahari terbit ini menuntut kami untuk mengaplikasikan ilmu dan teori yang kami telah pelajari dalam kuliah. Kami turut didedahkan dengan cara penyampaian da’wah yang berhikmah dalam menjalankan sesi penerangan berkaitan perbandingan agama bagi memastikan ia berjalan dengan baik dan lancar. Ia memberikan kami satu pengalaman yang cukup berbeza kerana Dakwah yang dijalankan  adalah dalam keadaan tertutup bagi mematuhi arahan pihak berkuasa untuk tidak melakukan perjumpaan secara terbuka.

Walaupun baharu beberapa bulan di Jepun, pengalaman yang telah kami tempuhi sangat berharga.  Harapan kami agar wabak Covid 19 dapat dibendung dan penduduk Jepun dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Pada masa yang sama kami juga berharap akan dapat terus menyebarkan syiar Islam ke negara matahari terbit yang cukup istimewa ini, Insyaallah!

 

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Shafiq Bin Hamling, Nur’izzati Binti Nurdin, Nurul Asiah Binti Khairuddin, Siti Sarah Binti Abdullah dan Tuhfahtul Ainah Binti Abd Halid. Mereka adalah pelajar tahun 4 Program Da’wah dan Pengurusan Islam dan kini berada di Osaka Jepun menjalani Latihan Industri.