KUALA LUMPUR, 29 Oktober 2026 – Seramai 29 mahasiswa Program Pengurusan dengan Pelancongan (Management with Tourism), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyertai lawatan akademik ke Malaysia Tourism Centre (MATIC), Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis, 29 Oktober 2026.Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai ekosistem industri pelancongan melalui perkongsian daripada pihak MOTAC dan Tourism Malaysia yang merangkumi empat bidang utama.

Menurut Dr. Muhammad Rozien Zakwan selaku Penyelaras dan Ketua Rombongan, lawatan akademik ini merupakan satu inisiatif penting dalam memberikan pendedahan secara langsung kepada mahasiswa mengenai perkembangan dan realiti industri pelancongan negara. Program seumpama ini juga dapat menghubungkan pembelajaran di bilik kuliah dengan pengalaman sebenar melalui perkongsian daripada pihak industri.

Perkongsian pertama oleh YBrs. Encik Azmi bin Abd Majid daripada Bahagian Komunikasi Korporat bertajuk “Peranan Komunikasi Strategik dan Pengurusan Imej MOTAC” memperkenalkan mahasiswa kepada fungsi agensi pelancongan, sejarah perkembangan organisasi serta peranan komunikasi dalam membentuk imej sektor pelancongan negara.Seterusnya, YBrs. Puan Shereen binti Harun daripada Bahagian Dasar Pelancongan membincangkan “Hala Tuju DPN 2020–2030 ke Arah Pelancongan Berkualiti, Inklusif dan Mampan”. Beliau menjelaskan bahawa pembangunan pelancongan perlu mengambil kira aspek kelestarian, khususnya dalam memelihara warisan sejarah, kebudayaan dan alam semula jadi daripada kesan pelancongan berlebihan.

YBrs. Encik Faizul bin Abd Samad daripada Bahagian Pembangunan Industri pula berkongsi mengenai “Pembangunan Modal Insan, Standard Kualiti dan Peluang Kerjaya dalam Sektor Pelancongan”. Mahasiswa didedahkan kepada keperluan profesionalisme dalam bidang pemanduan pelancong serta kepelbagaian peluang pekerjaan yang terdapat dalam industri tersebut.

Pengisian keempat oleh YBrs. Encik Ahmad Kamarudin bin Yusof daripada Tourism Malaysia bertajuk “Strategi Menarik Pelancong Domestik dan Antarabangsa” memberikan pendedahan mengenai strategi pemasaran pelancongan, peningkatan akses penerbangan, penguasaan bahasa dan kepentingan memahami kehendak pelancong dari pasaran berbeza. Program diteruskan dengan persembahan kebudayaan oleh artis daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Para mahasiswa turut berpeluang melawat sekitar MATIC bagi mengenali dengan lebih dekat seni, budaya dan warisan yang menjadi antara identiti serta tarikan pelancongan Malaysia.

Melalui lawatan ini, mahasiswa berpeluang menghubungkan pengetahuan yang diperoleh dalam pembelajaran akademik dengan amalan sebenar industri. Pendedahan tersebut turut memberikan gambaran lebih luas tentang kepentingan kelestarian, pembangunan modal insan dan strategi pemasaran dalam memastikan industri pelancongan terus berkembang.