NILAI, 26 OKTOBER 2026 – Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh jaringan akademik antarabangsa menerusi penganjuran program flagship fakulti, International Leadership Mobility Program Siri 2/2026, yang berlangsung dari 25 Oktober hingga 1 November 2026.

Siri kali ini menghimpunkan seramai 17 pelajar antarabangsa dari lima institusi pengajian tinggi, iaitu Islamic University of Maldives, Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Universitas Islam Negeri Sultan Aji Muhammad Idris Samarinda, Universitas Muhammadiyah Jakarta dan Universitas Muhammadiyah Yogyakarta yang mana program ini menjadi platform pertukaran ilmu, pengalaman dan budaya dengan memberikan penekanan kepada pembangunan kepimpinan, kecemerlangan akademik serta pengukuhan hubungan antara institusi pendidikan tinggi.

Dekan FKP, YBrs. Profesor Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani, dalam ucapan perasmiannya menggalakkan para peserta agar memanfaatkan sepenuhnya setiap pengisian dan aktiviti yang telah disusun sepanjang program berlangsung.

Beliau turut mengalu-alukan minat peserta untuk melanjutkan pengajian di USIM dan menyifatkan program mobiliti ini sebagai peluang awal untuk membina hubungan dengan warga akademik FKP, termasuk mengenali bakal penyelia pengajian.

“Saya juga mengalu-alukan semua peserta untuk menyambung pengajian di sini dan perkenalan awal dengan para akademik di FKP mungkin akan membantu semua peserta untuk menyambung pengajian di sini,” katanya.

Antara pengisian utama program termasuk modul A Way Forward: Students as Future Leaders yang disampaikan oleh Dr Hayati Ismail, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), serta Bengkel Pembangunan Cadangan Penyelidikan (Research Proposal Development Workshop) yang dikendalikan oleh Profesor Madya Dr Nur Kareelawati Abd Karim dari FKP.

Selain itu, peserta turut berpeluang meningkatkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan melalui Public Speaking Workshop & Oratory Challenge yang dikendalikan oleh Encik Muhammad Zaki Mustafa, serta International Competition on Global Student Leadership yang diselaraskan oleh Profesor Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor.

Kedua-dua pengisian ini memberi ruang kepada peserta untuk mengasah keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi dan potensi kepimpinan dalam persekitaran antarabangsa.

Menurut salah seorang peserta, Nazima Naseem, pelajar Sarjana dari Islamic University of Maldives (IUM), beliau amat berpuas hati dengan pengisian dan pengalaman yang diperoleh sepanjang menyertai program tersebut.

“Ini merupakan penyertaan saya kali kedua dalam program ini dan banyak pengalaman yang saya peroleh. Apa yang lebih penting ialah hubungan baik antara semua peserta dan urus setia pelajar yang begitu komited menemani serta membantu kami sepanjang program,” katanya.

Bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran akademik, peserta turut mengikuti aktiviti sit-in class bersama pensyarah dan mahasiswa FKP yang melibatkan tiga kursus, iaitu Introduction to Fiqhul Islam, Film and TV Studies serta Renewal Movement in Islam yang membolehkan peserta merasai pengalaman pembelajaran dalam persekitaran akademik USIM, di samping membuka ruang interaksi dan perkongsian perspektif antara mahasiswa daripada latar belakang yang berbeza.

Selain pengisian akademik, peserta turut terlibat dalam aktiviti khidmat masyarakat menerusi modul Leadership in Service: International Student Community Engagement di Madrasah Ibnu Mas’ud dan memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi dengan komuniti setempat serta menghayati kepentingan kepimpinan yang berteraskan khidmat, empati dan tanggungjawab sosial.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen USIM, khususnya FKP, dalam memperluas peluang mobiliti mahasiswa, memperkukuh jaringan antarabangsa serta menyediakan pengalaman pembelajaran rentas budaya yang holistik.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2025, International Leadership Mobility Program telah berjaya menghimpunkan kira-kira 80 peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi antarabangsa.

Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan FKP dalam memperluas jaringan kerjasama global serta menjadikan program mobiliti sebagai platform strategik bagi memperkukuh hubungan akademik, pertukaran budaya dan pembangunan kepimpinan mahasiswa FKP di peringkat antarabangsa.