Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) terus memperkukuh jaringan akademik antarabangsa apabila menganjurkan Kolokium Pascasiswazah Antarabangsa (USIM-UNSIQ 2026) dengan kerjasama Program Pascasarjana Universitas Sains Al-Qur’an (UNSIQ), Wonosobo, Indonesia di Dewan Kuliah Fakulti 1.2 (DKF 1.2), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM pada 20 Mei 2026. Program yang menghimpunkan lebih 100 peserta itu menjadi platform ilmiah bagi mahasiswa pascasiswazah, pensyarah dan penyelidik dari Malaysia dan Indonesia membentangkan hasil penyelidikan berkaitan pengajian Islam, kesejahteraan spiritual serta cabaran pendidikan kontemporari.
Majlis turut diserikan dengan sesi menandatangani Letter of Intent (LOI) antara Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM dan Universitas Sains Al-Qur’an Jawa Tengah, Wonosobo (UNSIQ) sebagai langkah awal memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan, mobiliti pelajar dan penerbitan ilmiah antarabangsa.
Majlis perasmian kolokium telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, PM Dr. Norhayati Rafida Abdul Rahim yang menegaskan kepentingan kolaborasi akademik antarabangsa dalam memperkasa budaya penyelidikan dan pembangunan ilmu rentas sempadan. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyifatkan kolokium tersebut sebagai manifestasi awal hasil hubungan kerjasama strategik yang telah dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara USIM dan UNSIQ. Menurut beliau, jalinan kerjasama tersebut bukan sekadar simbolik, malah diterjemahkan melalui pelaksanaan aktiviti akademik dan penyelidikan yang memberi manfaat langsung kepada pensyarah dan mahasiswa kedua-dua institusi.
Beliau turut menekankan bahawa platform seperti ini amat penting dalam memperkukuhkan budaya penyelidikan dan wacana akademik rentas sempadan khususnya dalam bidang pengajian Islam, dakwah, kesejahteraan spiritual serta integrasi ilmu wahyu dan sains moden. Katanya, mahasiswa pascasiswazah perlu memiliki kemampuan berfikir secara kritis, berkomunikasi secara profesional dan membina jaringan akademik antarabangsa bagi mendepani cabaran pendidikan abad ke-21.
Kolokium tersebut menampilkan pembentangan mahasiswa pascasiswazah dari kedua-dua universiti antaranya Fitriyani dari UNSIQ dengan kajian bertajuk “Penguatan Budaya Silaturahmi Pada Remaja Melalui Tradisi Mbarak Di Desa Nusantara Jaya, Riau”, Rina Fitrohati melalui kajian berkaitan persepsi guru Pendidikan Agama Islam terhadap pelaksanaan Technological Pedagogical Content Knowledge (TPACK) di Wonosobo, serta Nurhamidah Binti Jalil dari USIM yang membentangkan kajian berkaitan aplikasi sistem pengajian pondok di Pusat Pengajian As-Sirajul Munir (PPSM) dalam memperkasa peranan wanita dalam dakwah dan pembangunan komuniti.

Turut membentangkan kajian ialah Muhammad Iman Haziq dari USIM menerusi tajuk “Da‘wah Bi Al-Hāl and Ummatic Diplomacy: Malaysia’s Faith-Driven Humanitarian Paradigm in Post-2021 Afghanistan” yang meneliti peranan Ahmad Azam Ab Rahman dalam diplomasi kemanusiaan berteraskan dakwah.
Kolokium tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada mahasiswa mempersembahkan hasil penyelidikan mereka, malah menjadi medan latihan akademik bagi meningkatkan kemahiran komunikasi ilmiah, kesiapsiagaan menghadapi viva serta penghasilan penulisan akademik berimpak tinggi.
Program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dalam persekitaran akademik antarabangsa dan pada masa sama memperkukuh keupayaan penyelidikan serta komunikasi ilmiah mereka. Ia juga selari dengan usaha USIM memperkasa integrasi ilmu wahyu dan sains moden dalam pembangunan akademik. Program sehari itu turut melibatkan sesi penilaian pembentangan ilmiah, dialog akademik serta pertukaran pandangan antara peserta dan panel penilai berkaitan isu-isu kontemporari pengajian Islam. Kolokium ini dijangka menjadi platform berterusan dalam memperkukuh hubungan akademik antara USIM dan UNSIQ serta meningkatkan budaya penyelidikan dalam kalangan mahasiswa pascasiswazah di peringkat antarabangsa.
Disediakan oleh
Dr.Suhailiza Md.Hamdani
Pensyarah Kanan
Program Dakwah dan Pengurusan Islam