8 Mei 2026 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dengan kerjasama Madrasah Ibnu Mas’ud telah menganjurkan program khidmat masyarakat bagi meraikan penyertaan peserta antarabangsa sempena International Leadership Mobility Program 2026 dari Indonesia yang menyertai program ini bermula 3 hingga 10 Mei 2026.
Program yang diadakan di Madrasah Ibnu Mas’ud (MIM), Nilai ini bukan sahaja menjadi platform memperkukuhkan ukhuwah dan jaringan kerjasama antara USIM dan warga MIM, malah turut memberi pendedahan bermakna kepada peserta mobiliti mengenai kehidupan serta aktiviti harian warga emas yang mengikuti pengajian di madrasah tersebut.
Menariknya, program ini turut melibatkan pelajar Tahun 3 Kaunseling di USIM yang berpeluang mempraktikkan kemahiran profesional mereka melalui aktiviti Psychosocial Dynamics & Therapeutic Reflection bersama warga emas. Pendekatan interaktif dan penuh empati itu berjaya mewujudkan suasana harmoni serta mengeratkan hubungan antara peserta antarabangsa, mahasiswa USIM dan warga MIM.
Selain sesi interaksi dan aktiviti psikososial, para peserta turut berganding bahu menjayakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar madrasah sebagai simbol semangat kesukarelawanan dan kebersamaan rentas negara serta turut memasak bersama bagi memperkenalkan makanan tradisi Malaysia.
Salah seorang peserta dari Universitas Tarumanagara, Jocelyn Ang berkata program tersebut memberi pengalaman yang sangat bermakna kepadanya.
“Program ini sangat baik kerana kami dapat berjumpa dan berkenalan dengan warga emas serta melihat bagaimana mereka mengisi masa dengan aktiviti keagamaan dan pembelajaran di sini,” katanya.
Sementara itu, Seyska Islamida Rahma dari Universitas Muhammadiyah Surakarta turut berkongsi bahawa program berkenaan memberi nilai emosi yang mendalam kepada peserta antarabangsa dengan menyatakan bahawa program seperti ini membuatkan kami teringat kepada ibu bapa di Indonesia dan sedikit sebanyak menghilangkan rasa rindu terhadap keluarga di kampung halaman,” ujarnya.

Program khidmat masyarakat ini diadakan bersempena International Leadership Mobility Program 2026 yang menghimpunkan kira-kira 25 peserta dari beberapa universiti di Indonesia termasuk Universitas Muhammadiyah Surakarta, Universitas Muhammadiyah Jakarta, Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, Universitas Muhammadiyah Makassar dan Universitas Tarumanagara.
Program ini secara tidak langsung mencerminkan komitmen USIM dalam memperkukuhkan hubungan antarabangsa, memperkasakan nilai kemanusiaan serta memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa rentas budaya dan negara.
![]() |
![]() |
|---|---|
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |





