Pulau Pinang, 19 Disember 2025 – Seramai 25 pelajar Komunikasi (Kewartawanan) dari Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar terhadap amalan dan persekitaran pembelajaran kewartawanan di institusi lain, di samping menjadi platform perkongsian pengalaman, idea serta pengukuhan jaringan kerjasama antara pelajar komunikasi kedua-dua universiti.Menurut Pensyarah Pengiring program, Dr. Fauziah Hassan, lawatan seumpama ini mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan profesional pelajar.“Lawatan ini memberi ruang kepada pelajar untuk mencambah idea dan kreativiti, selain memperkukuh pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan bagi melahirkan graduan media yang profesional dan bersedia menghadapi cabaran industri, khususnya dalam bidang kewartawanan,” katanya.
Sementara itu, salah seorang pelajar USIM, Nur Faizatul Nadhira Binti Faizol menyatakan bahawa lawatan tersebut telah membuka peluang untuk berfikir secara lebih kreatif dan kritis.“Sesi perkongsian bersama pelajar USM memberi inspirasi kepada kami untuk mendalami bidang media dan komunikasi dengan lebih serius, terutamanya dalam meneroka penggunaan teknologi dan aplikasi AI dalam kewartawanan,” katanya
Sepanjang lawatan, pelajar USIM turut berpeluang menyaksikan pembentangan projek akhir pelajar USM, selain melawat makmal serta bangunan Balai Media USM, yang memberi gambaran langsung tentang persekitaran kerja dan latihan kewartawanan.Lawatan ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) Pusat Pengajian Komunikasi USM, Dr. Nur Atikah A. Rahman, serta dihadiri oleh beberapa orang pensyarah komunikasi USM.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada program “Berita dari Pulau: Eksplorasi Kewartawanan di Pulau Pinang”, yang dirangka bagi memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran kewartawanan secara praktikal melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dan pendedahan lapangan.
Program ini telah mendapat sokongan dan dana peruntukan dari Pusat Wakaf dan Zakat USIM.
![]() |
![]() |
|---|---|
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |







