Masjid bukan sekadar tempat umat Islam menunaikan ibadah, tetapi juga mercu tanda yang mencerminkan seni bina, sejarah, dan nilai Islam kepada dunia. Di banyak negara, termasuk Malaysia, masjid menjadi tarikan pelancong kerana keindahan seni binanya, keunikan sejarah, dan fungsinya sebagai pusat komuniti. Dalam konteks ini, konsep ‘masjid pelancongan’ mengangkat peranan jawatankuasa masjid sebagai duta hospitaliti yang menyambut pelawat Muslim dan bukan Muslim dengan penuh sopan, hormat, dan mesra.
Seiring pertumbuhan pelancongan Islam di peringkat global, masjid berpotensi besar menjadi medium dakwah dan diplomasi budaya. Ia bukan sekadar mempamerkan seni bina, tetapi juga akhlak dan nilai Islam yang sebenar. Jawatankuasa masjid memainkan peranan penting dalam membentuk pengalaman positif kepada pelawat. Layanan yang berlandaskan akhlak Islam, toleransi, dan kefahaman lintas budaya mampu mengubah pandangan serta membina persefahaman antara masyarakat.

Islam sendiri menekankan prinsip komunikasi yang bijaksana. Al-Quran dalam Surah an-Nahl ayat 125 menyeru umat Islam agar mengajak ke jalan Allah dengan hikmah dan nasihat yang baik. Surah Al-Hujurat ayat 13 pula mengingatkan bahawa manusia diciptakan berbilang bangsa untuk saling mengenali, bukan bermusuhan. Malah, Nabi Muhammad SAW pernah berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapannya. Apabila ditanya, baginda menjawab, “Bukankah dia juga seorang manusia?”. Ini merupakan satu pengajaran tentang menghormati sesama insan tanpa mengira latar belakang kepercayaan dan agama yang dianuti.
Kajian-kajian terdahulu menunjukkan masjid pelancongan membawa impak positif terhadap imej Islam, hubungan antara agama, dan pembangunan komuniti setempat. Sebagai contoh, kajian di Masjid Sultan Ahmad 1 di Pahang mendapati pelawat lebih menghargai lawatan mereka apabila diberi penerangan jelas tentang sejarah masjid, adab ziarah, dan disediakan bahan interaktif. Penyelidikan juga menunjukkan bahawa penggunaan teknologi seperti aplikasi mudah alih, realiti maya (VR), dan media sosial mampu memperluas capaian maklumat kepada pelawat.
Masjid yang mempunyai nilai warisan seni bina dan budaya turut menjadi tarikan yang unik. Ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang warisan Islam, tetapi juga menyumbang kepada ekonomi setempat. Latihan kemahiran komunikasi dan empati kepada ahli jawatankuasa masjid terbukti dapat meningkatkan pengalaman pelawat, terutama bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke rumah ibadah umat Islam.


Namun, mengurus masjid pelancongan bukanlah semudah yang disangka tanpa ada sebarang cabaran. Perbezaan bahasa, sensitiviti budaya, kekurangan sumber latihan, dan persepsi negatif terhadap Islam antara isu yang perlu diatasi dengan bijak dan berkesan. Ada juga masjid yang kurang mendapat pendedahan atau promosi sebagai destinasi pelancongan kerana kekangan kemampuan kewangan atau kerjasama yang terhad dengan pihak luar. Pelancong bukan Muslim pula mungkin tidak mengetahui adab memasuki masjid, justeru memerlukan pengurusan masjid untuk menggunakan pendekatan pendidikan yang kreatif dan mesra tetapi tetap dapat menyantuni golongan ini.
Peranan jawatankuasa masjid amat penting dalam mengatasi cabaran ini. Ahli jawatankuasa bukan sahaja mengurus operasi harian masjid, tetapi menjadi wajah dan suara kepada pengunjung. Penampilan, tutur kata, dan layanan mereka mencerminkan akhlak Islam. Mereka juga bertanggungjawab memastikan pelawat disambut dengan kemudahan yang baik, maklumat yang tepat, dan suasana yang mesra. Kerjasama sesama ahli jawatankuasa masjid untuk memastikan pengalaman pelawat positif dan memberi kesan mendalam adalah sangat diperlukan.
Masa depan masjid pelancongan memerlukan perancangan strategik. Latihan komunikasi dan hospitaliti berasaskan nilai Islam perlu diberikan kepada semua petugas. Bahan informasi pelbagai bahasa, termasuk panduan digital, boleh membantu pelawat memahami sejarah dan fungsi masjid. Teknologi seperti VR boleh memberi pengalaman unik, manakala media sosial boleh digunakan untuk mempromosikan masjid dengan kandungan kreatif dan berinformasi. Kerjasama dengan industri pelancongan, media, dan komuniti setempat akan memperluas pengaruh masjid sebagai pusat pelancongan yang inklusif.
Masjid pelancongan berpotensi besar sebagai jambatan persaudaraan antara umat Islam dan masyarakat dunia. Dengan komunikasi berasaskan hikmah, empati, dan profesionalisme, disokong teknologi moden, masjid dapat membentuk imej Islam yang damai dan mempesona. Apabila masjid menjadi suara yang menyeru kebaikan dan wajah yang memaparkan kasih sayang, ia bukan sahaja menarik pelawat untuk datang, tetapi juga meninggalkan kesan yang mengubah cara mereka melihat Islam dan umatnya.
**Rencana di atas merupakan adaptasi daripada sesi perkongsian penulis dalam Persidangan Meja Bulat Masjid Pelancongan yang dianjurkan oleh Islamic Tourism Centre, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Budaya (MOTAC) yang diadakan pada 13-15 Julai 2025 di Hotel Perdana Kota Bharu, Kelantan.
![]() |
![]() |
![]() |
---|
![]() |
Penulis : Prof. Madya Dr. Khairunneezam Bin Mohd Noor, Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). |
---|