Nilai, 24 April 2025 – Program Komunikasi di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan satu sesi pengkuliahan bersama pensyarah jemputan dari Universitas Islam Negeri (UIN) Sunan Gunung Djati Bandung, Indonesia iaitu Prof, Dr Hjh Ulfiah M.Si., CPCE., MCE yang merupakan Dekan Fakultas Psikologi.
Sesi pengkuliahan yang bertemakan “Karakter Pelajar: Terminologi, Pembentukan dan Pengembangan telah melibatkan penyertaan aktif mahasiswa dari Program Komunikasi, USIM dan mahasiswa UIN Bandung bagi subjek Psikologi Komunikasi (ACM2123).
Sesi perkongsian sebegini bukan sahaja membuka ruang kerjasama rentas negara dalam bidang akademik, tetapi turut memberikan peluang kepada mahasiswa kedua-dua institusi untuk berkenalan, berinteraksi serta bertukar pandangan daripada perspektif global.
Menurut Penyelaras Kursus ini, Dr Fauziah Hassan berkata sesi seperti ini mampu membentuk keterbukaan minda serta memupuk nilai saling menghormati pandangan dan pendapat yang berbeza dalam kalangan mahasiswa.
Tambah beliau, pengalaman berinteraksi dengan rakan antarabangsa memberikan dimensi baharu kepada pemahaman pelajar terhadap dinamika komunikasi, khususnya dalam konteks psikologi dan pembentukan watak, katanya lagi.
Program ini turut diselitkan dengan aktiviti perbincangan kumpulan, perkongsian pengalaman pelajar serta sesi soal jawab yang memperkayakan lagi penghayatan terhadap topik yang dibincangkan.
Program Komunikasi USIM komited untuk terus meneroka peluang kolaborasi antarabangsa demi memperkukuh kualiti pengajaran, penjenamaan dan pembelajaran dalam usaha melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global.