Dalam agama Islam, aktiviti dakwah merupakan suatu usaha yang sangat mulia, dipandang tinggi dan mempunyai nilainya yang tersendiri. Ini kerana dakwah merupakan tugas utama para nabi dan rasul alayhim al-Solat wa al-Salam terdahulu dalam menyelamatkan umat manusia daripada gelapnya kejahilan kepada terangnya cahaya hidayah. Abu Al-A’la Al-Mawdudi (1903-1979) dalam membahaskan erti dakwah menyebutkan, dakwah bererti seruan Rasul menuju Ilahi, yakni mengajak manusia memiliki nilai-nilai terpuji dan agung. Dakwah itu menghidupkan manusia, iaitu menghidupkan pancaindera, pemerhatian, rasa, daya cipta dan hati nurani.
Dalam Surah Fussilat 41, ayat 33, Allah SWT menyatakan: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” Menyedari betapa besarnya hikmah dan fadilah usaha dakwah berdasarkan ayat suci Al-Quran Al-Karim sebelum ini Unit Ukhuwah, Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bersama kumpulan penyelidik USIM sedang dalam usaha menghasilkan sebuah Modul Pembangunan Mualaf khusus buat seluruh lapisan mualaf di Negeri Sembilan.
Pada 23 Ogos 2023, bersamaan hari Rabu, jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, wakil daripada kumpulan penyelidik USIM seramai 6 orang (5 pensyarah dan seorang mahasiswa) telah berangkat ke Pejabat JHEAINS, Seremban untuk tujuan kunjungan hormat ke atas Pengarah JHEAINS, Dato’ Mohd Zaidi Ramli. Ahli rombongan yang hadir ialah:
- Dr. Marina Munira Abdul Mutalib (Ketua Program, Program Pengajian Akidah dan Agama, USIM selaku ketua rombongan)
- Dr. Roslizawati Mohd Ramli (Penyelaras Siswazah, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM)
- Dr. Nik Suhaida Nik Abdul Majid (Pensyarah, Program Da’wah dan Pengurusan Islam, USIM)
- Dr. Suhailiza Md. Hamdani (Pensyarah, Program Da’wah dan Pengurusan Islam, USIM)
- Prof. Dr. Azman Ab Rahman (Pengarah, Institut Fatwa dan Halal, USIM)
- En. Muhammad Khairunnas bin Naseri (Pelajar, Program Pengajian Akidah dan Agama, USIM)
Dalam masa yang sama, kumpulan USIM turut mengambil kesempatan membentangkan slaid cadangan Kerangka Pemerkasaan Mualaf Negeri Sembilan. Dalam kerangka ini, terdapat tiga bidang fokus yang mengandungi 9 inisiatif. 3 bidang fokus ini adalah Penyelidikan dan Pembangunan (4 inisiatif), Latihan (3 inisiatif) dan Jangkauan(outreach) (2 inisiatif).
Bagi mencapai objektif kajian, 9 inisiatif tersebut telah dicadangkan kepada pihak JHEAINS, iaitu:
- Kajian Pembinaan Modul Pembangunan Mualaf Negeri Sembilan
- Kajian Kesejahteraan Psikologi dan Sosial Mualaf di Negeri Sembilan
- Kajian Pembinaan Kerangka Pemerkasaan Penggerak Dakwah dalam kalangan Wanita Mualaf di Negeri Sembilan
- Pembinaan Portal dan Aplikasi Sistem Mualaf Negeri Sembilan
- Bengkel Tafaqquh Pengajar Mualaf
- Bengkel Latihan Pengajar dan Pembimbing Mualaf (dari aspek Akidah, Dakwah, Pengurusan, Komunikasi, Psikologi, Kaunseling dan Media Baharu)
- Bengkel Sijil Professional Pengurusan Mualaf Negeri Sembilan
- Bengkel latihan dan sesi Scriptural Reasoning
- Bengkel Understanding Religion Series: Islam 101 (untuk Mualaf dan Non-Muslim)
Kunjungan serta pembentangan slaid cadangan ini telah disambut baik dan membuahkan beberapa perspektif baharu tentang situasi sebenar yang dihadapi para guru dan mualaf di Negeri Sembilan. Ujar Dato’ Pengarah, mualaf adalah golongan minoriti dalam umat Islam di Negeri Sembilan, serta minoriti juga dalam bangsanya sendiri. Oleh yang demikian, santunan yang selayaknya wajar diberikan kepada mereka. Para pendakwah harus bijak dalam mempelbagaikan pendekatan, contohnya engagement dengan mereka mestilah akrab supaya mualaf lebih tertarik dengan Islam, dan bukan sebaliknya. Ujar beliau lagi, modul yang akan dihasilkan mestilah disertakan bersama manual pengajaran untuk keseragaman dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Penghasilan modul ini juga perlulah bersesuaian dengan tahap kefahaman mualaf yang berbeza, serta menekankan kepada penghayatan dan amalan Islam seharian. Penjenamaan setiap inisiatif juga boleh menyumbang sebagai penarik kepada mualaf dalam era serba moden ini.
Semoga dengan usaha kecil ini dapat memberi impak yang besar terhadap masyarakat mualaf di Negeri Sembilan khususnya, dan di Malaysia umumnya. Moga usaha dakwah mualaf ini mendapat bantuan daripada Allah S.W.T. kerana membantu hamba-Nya yang berusaha mendekatkan diri kepada-Nya. Ini selari dengan saranan Rasulullah SAW, daripada Sahl bin Sa’ad r.a. beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik)”. [Riwayat Bukhari (2942)].
Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali, Pensyarah Program Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia. |
|
---|---|
En. Muhammad Khairunnas bin Naseri (Pelajar, Program Pengajian Akidah dan Agama, USIM) |