Program Service Learning Malaysia-University For Society (SULAM) anjuran Kursus AEN3183 Dakwah Elektronik dan Kempen, Program Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, dengan penglibatan pelajar Tahun 3 program Da’wah dan Pengurusan Islam telah berlangsung pada 17, 18 dan 19 Jun 2022. Program SULAM tersebut melibatkan kerjasama bersama Surau Desa Cempaka, Masjid Al-Azim dan Masjid Dato’ Klana Petra di Nilai, Negeri Sembilan.
Kurikulum kursus AEN3183 Dakwah Elektronik dan Kempen memberikan penekanan pengajaran dan pembelajaran berkaitan dakwah dan komunikasi media pembujukan, kemahiran dalam mereka bentuk kandungan kempen dan penggunaan media digital dalam konteks penerapan dakwah dan kempen. Melalui kursus tersebut, para pelajar didedahkan dengan kaedah reka bentuk dakwah elektronik dan kandungan program kempen agar ianya dapat disampaikan kepada golongan sasaran dengan efektif.
Pendekatan SULAM memberikan peluang terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus agar dapat dijalankan berserta khidmat komuniti. Melalui inisiatif program SULAM, para pelajar dapat mengembangkan pengetahuan yang dipelajari dengan melibatkan diri bersama pihak masjid dan surau. Bahkan, para pelajar juga telah menyantuni, bersua muka dan mengadakan perbincangan bersama pihak masjid dan surau bagi bersama-sama mengenalpasti isu atau permasalahan setempat yang boleh ditangani dan digerakkan bersama.
Masjid dan surau merupakan teras kepada sumber ilmu agama. Justeru, ia merupakan pilihan organisasi dan komuniti sasaran yang ideal bagi program SULAM AEN3183 Dakwah Elektronik dan Kempen kerana para pelajar dapat memperolehi pengetahuan dan pengalaman dalam aspek dakwah dan keagamaan disamping berkongsi ‘kepakaran’ dan aktiviti berbentuk perkhidmatan reka bentuk dakwah elektronik dan kandungan kempen.
Program SULAM memulakan tirai pada 17 Jun 2022, jam 8 malam, di Surau Desa Cempaka, Nilai. Hasil perbincangan bersama pengerusi, Dr. Abdullah Bin Samat dan pihak pengurusan surau yang ingin mengadakan aktiviti bagi mengimarahkan pengisian surau, para pelajar telah menghasilkan video kempen dan poster digital untuk mengajak masyarakat membaca, menghayati dan mengamalkan surah Al-Mulk. Pengisian program turut disusuli dengan solat berjemaah yang dipimpin oleh pelajar dan seterusnya tazkirah berkaitan al-Mulk yang disampaikan oleh Imam Muda Najdi.
Video kempen dan poster digital berkisarkan persiapan kematian dan kesedaran tentang tanggungjawab Muslim dalam menguruskan jenazah telah dihasilkan oleh para pelajar dan dilancarkan menerusi laman Facebook Masjid Al-Azim, Nilai. Tercetusnya kempen tersebut adalah hasil dari perbincangan awal pengajar dan para pelajar bersama pengerusi masjid, Md Fakarudin Bin Ab Rahman, yang mengharapkan agar kempen dan program berkaitan pengurusan jenazah dapat direalisasikan kerana program tersebut sudah lama tidak dilaksanakan di masjid tersebut. Penceramah bertauliah dan fasilitator amali pengurusan jenazah turut dijemput bagi melengkapkan pengisian program kempen yang diadakan di masjid tersebut yang telah diadakan pada 18 Jun 2022 bermula jam 8 pagi.
Pada hari kemuncak, 19 Jun 2022, Kempen ‘Subuh Akhbar 3.0’ telah berlangsung dengan jayanya. Video kempen dan poster digital mengajak orang ramai untuk turut serta mengimarahkan solat subuh yang dihasilkan para pelajar telah dimuatnaik di laman Facebook Masjid Dato’ Klana Petra sebagai strategi hebahan kempen dan program yang ingin dijalankan. Program kempen tersebut menekankan kepentingan mengimarahkan solat subuh secara berjemaah seperti mana penuhnya masjid pada solat Jumaat. Antara keistimewaan dan ganjaran solat subuh berjemaah seperti yang disebutkan di dalam hadis riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah bahawa Rasulullah S.A.W mendoakan keberkatan bagi umatnya yang bersegera untuk menunaikan solat Subuh.
Malah, menerusi program kempen tersebut, para pelajar juga telah berkongsi ilmu pengetahuan berkaitan dakwah elektronik dan kempen bersama jemaah dan masyarakat yang hadir. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bagi kesemua kempen tersebut turut dibuat secara langsung menerusi laman media sosial masjid dan surau sebagai kaedah alternatif untuk mengajak masyarakat turut serta dalam program yang diadakan secara dalam talian. Dengan penyeliaan pihak masjid dan surau, para pelajar juga diberikan peluang menyumbang bahan dan mengelola laman media sosial masjid dan surau ketika aktiviti kempen tersebut dijalankan. Sekaligus menjadikan ia nilai tambah yang berharga kepada pengalaman pelajar.
Meskipun kursus yang diterapkan dengan SULAM tersebut menekankan aspek kempen dan dakwah secara elektronik, sebagaimana dakwah yang bermaksud menyeru atau mengajak, aktiviti berkempen mestilah digiatkan dengan strategi bersemuka dan fizikal. Sungguhpun media baharu berupaya bertindak sebagai alat atau ‘platform’ tetapi kepelbagaian strategi dalam berkempen itulah yang menjadi paras ukur keberkesanan. Bermaksud, aktiviti seperti perbincangan, berkempen dari satu lokasi ke lokasi yang lain, bekerjasama, menyebarkan pamflet atau brosur merupakan elemen kempen yang masih tetap releven dan penting.
Andi Mohamad Zulfauzan Bin Muhamad, Imam 1, Masjid Dato’ Klana Petra dalam merakamkan penghargaannya kepada para pelajar Program Da’wah dan Pengurusan Islam yang terlibat dalam Program SULAM anjuran Program Komunikasi Media Baharu turut memberi nasihat agar sentiasa berbakti dan meneruskan berbuat kebaikan kepada masyarakat demi kelangsungan ummah, agama dan masa hadapan.
Selesainya program SULAM ini bukanlah bermaksud ianya sudah tamat, tetapi bertindak sebagai batu loncatan dalam memupuk kita untuk meneruskan kemahiran bekerjasama yang baik, mengasah keupayaan berfikir dengan kritis dan kreatif, dan seterusnya membina kecemerlangan dalam kepimpinan dan komunikasi yang muhibab dan berhikmah. Semoga melalui inisiatif program SULAM yang diterapkan dengan kursus pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan rasa tanggungjawab sosial dan toleransi antara tenaga pengajar, pelajar dan organisasi/komuniti pilihan sebagai sebuah keluarga Malaysia yang dicintai.
Oleh:
Dr. Kartini Kamaruzzaman
Pensyarah Kursus AEN3183 Dakwah Elektronik dan Kempen
Program Komunikasi Media Baharu
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia.