Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan 

Dr Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali 

Alhamdulillah, bulan Ramadan menjelang tiba. Ahlan wa sahlan ya Ramadan. Selamat datang bulan yang diberkati (al-shahr al-mubārak),  bulan ibadat dan penghulu segala bulan (sayyid al-shuhūr). Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW akan bergembira apabila menjelangnya bulan Ramadan dan mengajak kesemua para sahabat dan umat Islam untuk beribadat.  

Sabda Baginda SAW yang maksudnya: “Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW memberikan khabar gembira kepada para sahabatnya: Telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan yang penuh berkat, bulan yang mana Allah mewajibkan berpuasa. Pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu Jahanam ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu. Pada bulan ini terdapat sebuah malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barang siapa terhalang daripada mendapat kebaikan pada bulan ini, maka sesungguhnya dia telah terhalang dari kebaikannya.” 

Lazimnya, apabila menerima kedatangan bulan Ramadan, kita sering kali meletakkan pelbagai perancangan dan azam untuk meningkatkan amal ibadah. Dari aspek ibadah umum, kita berazam hendak mengubah cara hidup kepada yang lebih baik dan positif. Hendak menyebarkan sebanyak-banyak kebaikan melalui perkataan dan perbuatan dalam muamalah sehari-hari. Tiada lagi cacian, umpatan, bersangka buruk dan membuang masa. Kita juga berazam mendidik ahli keluarga dan rakan-rakan untuk bersama-sama dalam mengerjakan setiap perkara yang baik. 

Dalam aspek ibadah khusus pula, ada yang merancang untuk berpuasa khuṣūṣ al-Khuṣūṣ, iaitu berpuasa yang bukan sahaja menahan daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, malah berpuasa hati dan seluruh anggota badan. Ada pula yang berazam untuk mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali sepanjang Ramadan, beristiqamah menunaikan solat tarawih secara berjemaah. Tidak kurang pula, ada yang ingin memperbanyakkan sedekah, berzikir, dan berdoa. 

Segala perancangan dan azam yang dibuat ini amat sesuai dengan didikan agama Islam. Islam adalah agama yang menekankan aspek pendidikan dan pengamalan kebaikan dalam segenap lapisan kehidupan. Bulan Ramadan pula adalah bulan yang sangat sesuai untuk mendidik dan mengamalkan kesemua nilai dan amalan kebaikan seperti yang telah dinyatakan tadi. 

Hal ini adalah selari dengan sabda Rasulullah SAW yang menggalakkan umat Islam supaya melakukan amalan kebajikan di bulan Ramadhan. Oleh itu, Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Barang siapa yang menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.” 

Untuk melalui bulan Ramadan ini dengan jayanya, para ulama telah menyusun beberapa persediaan rapi yang mesti dibuat. Persediaan-persediaan ini adalah seperti berikut: 

1.      Persediaan ilmu pengetahuan. 

Memandangkan Ramadan ini adalah setahun sekali, maka seeloknya kita mengulang kaji berkenaan perkara-perkara wajib, sunat, harus, makruh dan haram yang dilakukan pada bulan Ramadan. Elok juga diluangkan masa untuk mengulang kaji segala panduan dan amal ibadat yang dilaksanakan pada bulan suci ini seperti ibadat sahur, puasa, terawih, qiamullail dan tadarus Quran. 

2.      Persediaan roh keimanan 
Persediaan roh keimanan juga tidak kurang penting dalam memastikan kita semua sentiasa istiqamah dan bermotivasi dalam melaksanakan ibadat sempena bulan mulia ini. Kita perlu memastikan tahap iman kita berada dalam keadaan yang baik, tinggi, tidak ragu-ragu dan lalai dalam melaksanakan ibadat kepada Tuhan Yang Maha Agung.  

 3.      Persediaan fizikal 
Tubuh badan yang sihat juga adalah penting dalam melaksanakan setiap ibadat pada bulan ini. Sekiranya sakit dan tidak berkemampuan, seelok-eloknya seseorang itu berjumpa dengan doktor perubatan dan meminta nasihat berkenaan kadar ibadat yang sesuai untuk dilaksanakan. Jangan ibadatnya hanya sehari, tapi sakitnya pula nanti sebulan atau lebih. 

4.      Persediaan harta benda 

Harta benda juga perlu disediakan dan diuruskan pada bulan Ramadan. Ini untuk mengelakkan daripada kita terlalai atau membazir dalam melaksanakan ibadat sahur, berpuasa, berwakaf, bersedekah dan lain-lain syiar Islam.  

5.      Persediaan ahli keluarga dan ahli rumah 

Akhir sekali, sebagai menuruti sunnah Baginda SAW, seelok-eloknya kita mengajak ahli keluarga dan rakan serumah atau kejiranan untuk berjemaah dalam mengerjakan setiap ibadat. Kata peribahasa Arab, al-Ittiḥād quwwah, yang bermaksud: kesatuan adalah kekuatan.  

Allahumma sallimnā li Ramaḍān, wa sallim Ramaḍān lanā, wa sallimhu minnā mutaqabbalā. Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah kesejahteraan kepada kami untuk menjalani (ibadat) Ramadan. Dan sejahterakanlah Ramadan untuk kami. Dan terimalah ibadat Ramadan daripada kami.  

 

 

Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali, Pensyarah Kanan, Program Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia 

 

In other words merupakah wadah perbincangan separa akademik yang melibatkan isu semasa berkaitan kesejahteraan masyarakat hari ini. Ahli akademik, pelajar dan masyarakat umum yang ingin menyumbang artikel boleh emelkan kepada ssharizal@usim.edu.my