PENGURUSAN KESEJAHTERAAN PSIKOSOSIAL, MENTAL DAN FIZIKAL SEMASA COVID-19
Profesor Datin Dr Sapora Sipon
Pandemik COVID-19 ternyata memberi impak psikososial, mental dan fizikal kepada masyarakat dunia. Pandemik ini yang bermula di Wuhan dan sehingga 16 Mei 2020 telah menjangkiti lebih dari 4 juta orang yang disahkan positif COVID-19 dan mengakibatkan lebih 300 ribu jumlah kematian dan menyelinap masuk ke dalam 216 negara bukan sahaja memberi kesan kepada impak psikososial, mental dan fizikal, namun merentasi kesan sosial, ekonomi dan politik yang mendalam.
Banyak kajian yang menyokong kesan COVID-19 kepada psikososial, mental dan fizikal seperti perasaan pengasingan, kemurungan, perubahan psikologikal, takut, demoralisasi, gangguan emosi dan kebimbangan . Rajkumar (2020) dan Bao, et. al (2020) menjelaskan individu yang berhadapan dengan bencana mengalami gangguan emosi. Mereka berada dalam kebimbangan, sentiasa risau, menghadapi masalah kekurangan tidur dan simptom kemurungan yang lain. Sesetengah dari mereka boleh pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa. Namun, yang lain memerlukan bantuan sokongan untuk pulih seperti sediakala.
Kesan pandemik COVID-19 bukan sahaja ke atas individu tetapi juga kepada petugas kesihatan dan anggota barisan hadapan. Lee (2020) menjelaskan petugas kesihatan dan anggota barisan hadapan mengalami kesan psikologi merasa kebimbangan apabila bekerja tanpa henti, menghadapi risiko dijangkiti dan kekurangan alat perlindungan. Selain dari itu, mereka juga merasa kesunyian, keletihan fizikal dan pengasingan dari keluarga. Lantaran itu, kajian Zhou et al (2020) menunjukkan keperluan intervensi psikologikal semasa pandemik COVID-19 diakibatkan oleh jumlah pesakit yang ramai, kekurangan kemudahan perubatan, kekurangan kemahiran dan pengetahuan di kalangan petugas. Mereka juga merasa kesukaran mendapat kerjasama dari pesakit terutama sekali bagi pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental.
Memandangkan COVID-19 memberi kesan mendalam kepada petugas kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil inisiatif melaksanakan satu kajian yang bertajuk ‘Kelaziman Dan Faktor Peramal Sindrom Lesu Upaya (Burnout) Di Kalangan Pekerja Kesihatan Malaysia Semasa Pandemik Covid-19”. Tujuan kajian ini mengenalpasti tahap dan faktor yang mempengaruhi sindrom lesu upaya (burnout) di kalangan pekerja kesihatan semasa situasi pandemik. Kajian ini penting untuk memandu langkah yang sesuai dalam menangani masaalah lesu upaya pekerja kesihatan di Malaysia, terutamanya dalam situasi pandemik.(https://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2371).
Dalam mengurangkan tahap stres dan kebimbangan akibat COVID-19, amat penting untuk sentiasa bersifat tenang dan menjaga kesejahteraan diri. Dapatkan maklumat berkaitan COVID-19 yang sahih. Ini amat penting untuk tidak menjadi lebih keliru kerana didedahkan kepada terlalu banyak maklumat berkaitan COVID-19. Sokongan sosial memberi satu perasaan kepunyaan dan persamaan. Justeru, kekalkan hubungan sosial dengan mengekalkan perhubungan dengan ahli keluarga dan rakan sekerja.
Adalah juga amat penting untuk mengekalkan sistem imuniti badan dengan mengambil makanan yang seimbang dan melakukan senaman. Individu juga perlu bersifat kreatif seperti mempunyai hobi yang dapat menghilangkan stres yang dialami. Bersifat positif dan tahu limitasi diri juga amat membantu dalam menjaga kesejahteraan psikososial, mental dan fizikal diri. Amalan jarak sosial, kuarantin dan isolasi penting dalam usaha untuk memutuskan jaringan virus ini. Kementerian Kesihatan melalui laman sesawang http://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan menyediakan Garis Panduan Pengurusan COVID-19 di Malaysia No.5/2020 (Kemaskini : 25 March 2020).
Rujukan
Bao Y., Sun Y., Meng S., Shi J., Lu L. (2020) 2019-nCoV epidemic: address mental health care to empower society. Lancet 22(395):e37–e38. https://doi.org/10.1016/S0140-6736(20)30309-3
https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-2019
https://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2371).
http://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan
Lee, S.A (2020). Coronavirus anxiety Scale. A brief mental health screen for COVID-19 related anxiety. Journal Death Studies. Vol 44 (7).https://doi.org//10.1080/07481187.2020.1748481. Epub 2020 Apr 16
Rajkumar, R.P (2020). COVID-19 and Mental Health. A review of the existing literature. Asian Journal of Psychiatry. Aug.52:102066.//https// doi.org// 10.1016/j.ajp.2020.102066
Zhou X., Snoswell C.L., Harding L.E., Bambling M., Edirippulige S., Bai X., Smith A.C. (2020). The role of telehealth in reducing the mental health burden from COVID-19. Telemed. J. E. Health. Apr; 26(4):377-379. http:// doi.org)10.1089/tmj.2020.0068.
Datin Dr Sapora Sipon adalah Profesor di Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia