Cabaran kembali semula bekerja selepas kemalangan
Nur Maherah Binti Jamaluddin & Rezki Perdani Sawai
Sebagai pelajar jurusan Dakwah dan Pengurusan Islam, program latihan industri merupakan antara peluang yang ditunggu-tunggu. Seperti pelajar lain sudah tentu saya berdebar-debar dan tidak begitu pasti apakah yang akan saya hadapi di alam pra pekerjaan ini.
Alhamdulillah saya diterima untuk menjalankan Latihan industri di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) cawangan Melaka. Saya telah ditugaskan di bahagian yang mengendalikan kajian kes Kembali Semula Bekerja atau Return to Work (RTW). Program RTW ini disediakan khas untuk Orang Berinsurans (OB) dengan Perkeso yang mengalami kemalangan, kecederaan dan sakit semasa waktu bekerja atau semasa pulang dari tempat kerja ke rumah dan ingin kembali semula bekerja.
Tugas ini memberikan saya pendedahan kepada bidang Rawatan Pemulihan kepada Orang Berinsurans (OB) dengan Perkeso seperti Rawatan Fisioterapi, Alatan Pemulihan dan Pencarian Pekerjaan Baru. Semasa kes Kembali Semula Bekerja dijalankan, saya turut berpeluang membuat lawatan Penilaian atau Work Site Assessment (WSA) dengan bertujuan untuk melihat keadaan mereka yang telah kembali bekerja selepas mendapat pengesahan dari doktor.
Semasa lawatan ini saya menimba banyak ilmu dan pengetahuan tentang bagaimana untuk memastikan kumpulan ini melakukan kerja yang sesuai dengan keadaan semasa selepas sembuh dari kecederaan. Lawatan ini juga amat penting bertujuan untuk berbincang dengan pihak majikan bagi memberikan kebenaran kepada pekerja mereka meneruskan rawatan seperti Fisioterapi ketika waktu bekerja atau selepas waktu bekerja dengan memberikan pelepasan pulang awal atau tambahan waktu rehat.
Semasa lawatan dijalankan, penilaian awal atau Initial Assessment (IA) turut dibuat. Ujian Saringan Minda Sihat menggunakan instrumen Depression Anxiety Stress Scales (DASS) dijalankan bertujuan menilai status kesihatan mental bagi mereka yang kembali bekerja selepas kemalangan dan untuk mengesan gejala seperti tekanan dan kemurungan.
Kebiasaannya melalui ujian Depression Anxiety Stress Scales tersebut didapati mereka yang kembali bekerja selepas kemalangan mengalami sedikit tekanan disebabkan tidak mempunyai sumber pendapatan untuk menyara keluarga. Apabila ditugaskan di bahagian kajian kes Kembali Semula Bekerja atau Return to Work (RTW) ini, sedikit sebanyak saya berpeluang mengaplikasikan apa yang telah saya pelajari dari bidang Pengurusan Islam dan Kaunseling. Melalui pengamatan saya melihat bagaimana penyelia industri mengendalikan kes-kes ini, mereka yang kembali bekerja selalu dinasihatkan untuk mempraktikkan langkah menangani stress dengan melakukan perkara yang bermanfaat, sabar, solat dan teruskan berdoa.
Hal ini bertepatan di dalam surah Al – Baqarah ayat 153 :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Firman Allah s.w.t: “Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar” [Surah Al-Baqarah, ayat 153]
Bukan mudah untuk mereka yang hilang upaya berjaya mendapatkan kembali pekerjaan.
Namun menerusi program Return To Work (RTW) oleh Perkeso sejak 2007, lebih 22 ribu pekerja yang hilang upaya berjaya mendapatkan pekerjaan.
Sebelum itu mereka yang hilang upaya ini akan menjalani pemulihan merangkumi pemulihan biofizikal, psikologi dan sosial yang disediakan oleh Perkeso dalam membantu mereka kembali bekerja dengan sihat dan selamat.
Pengalaman menjalani latihan industri ini menyedarkan saya pentingnya para pekerja mengetahui manfaat dan faedah yang disediakan bagi pencarumnya dalam menyediakan bantuan dari segi perubatan dan kewangan apabila kebolehan mereka dikurangkan akibat kemalangan atau penyakit.
Kita dapat lihat baru-baru ini bahawa pencarum yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19) turut diberi bantuan kewangan oleh Perkeso.