Setiap tahun, umat dunia pasti dihidangkan dengan pelbagai isu yang melibatkan peperangan antara negara, pergaduhan antara kaum, dan juga pertengkaran antara kumpulan dan agama. Sehingga saat artikel ini diterbitkan, penindasan dan kekejaman yang berlaku di Palestin masih belum berakhir. Krisis antara Russia dan Ukraine yang berlangsung sejak awal tahun 2021 juga masih lagi berlarutan.  

Terdapat pelbagai punca dan sebab musabab kesemua peperangan, pergaduhan dan pertengkaran ini berlaku. Kendatipun begitu, sebagai warga dunia yang waras dan ahli masyarakat yang bertamadun, tidak semua salah faham, perbezaan pandangan dan konflik kepentingan mesti berakhir dengan peperangan, pergaduhan dan pertengkaran. Sebaiknya, kesemua salah faham, perbezaan pandangan dan konflik kepentingan dibincangkan secara baik dan diselesaikan secara matang demi memenangkan kesejahteraan hidup sejagat dan kelestarian alam semesta. 

 Dalam agama Islam, dosa membunuh secara batil merupakan antara dosa besar yang dimurkai Allah SWT. Malah dalam Surah Al-Ma’idah 5, ayat 32, Allah SWT memberikan perumpamaan bahawa sesiapa yang membunuh satu nyawa manusia dan melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia kesemuanya. Begitu juga, sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup kesemua umat manusia. 

Bertitik tolak daripada kepentingan menjaga persaudaraan keseluruhan umat manusia, sebuah dokumen telah didekrikan bertajuk Dokumen Tentang Persaudaraan Manusia Bagi Keamanan Dunia Dan Hidup Bersama (A Document on Human Fraternity for World Peace and Living Together). Dokumen bersejarah ini telah disahkan dan ditandatangani oleh dua orang tokoh besar dalam dunia Islam dan Kristian Katolik iaitu: Sheikh Al-Azhar, Al-Imam Al-Akbar, Sheikh Profesor Dr. Ahmed Mohamed Ahmed El-Tayeb (lahir 6 Januari 1946) dan Pope Francis (lahir 17 Disember 1936). 

Dokumen ini yang telah diterbitkan pada 4 Februari tahun 2019 di Abu Dhabi juga telah disokong oleh Setiausaha Agung PBB, António Guterres (lahir 30 April 1949) sebagai sebuah model bagi keharmonian antara agama dan solidariti kemanusiaan. Dokumen ini juga amat sesuai untuk dijadikan inspirasi buat semua masyarakat dunia dalam memperbaharui komitmen untuk hidup bersama-sama sebagai sebuah keluarga besar manusia di dunia. 

 Hasilnya, Majlis Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui resolusi nombor 75/200 telah mengiktiraf tarikh 4 Februari pada setiap tahun sebagai Hari Antarabangsa Persaudaraan Kemanusiaan untuk menghidupkan budaya kehidupan yang damai merentasi pelbagai kepercayaan, budaya, politik dan negara. Menurut PBB, budaya damai adalah satu set nilai, sikap, tradisi, amalan tingkahlaku, serta gaya hidup yang didasarkan kepada pelbagai nilai tinggi yang positif dan amalan keamanan yang merentas semua tahap masyarakat dan antara negara-negara yang dipupuk oleh persekitaran nasional dan antarabangsa yang kondusif. 

 Buat julung kalinya di USIM, pada 7 Februari 2023, Hari Antarabangsa Persaudaraan Kemanusiaan 2023 ini disambut dan diwacanakan dengan perbincangan ilmiah berkenaan kepentingan persaudaraan kemanusiaan merentas pelbagai agama, bangsa, kaum, adat, negeri dan negara. Seramai 21 orang peserta yang telah menghadiri program ini yang terdiri daripada para pensyarah USIM, pensyarah UM, pelajar USIM, alumni USIM dan beberapa wakil daripada Gereja Katolik Kuala Lumpur. Program ini telah diadakan di AKidah and Global Outreach Centre (AGENT), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM bermula jam 4 petang.

 Pada sesi akhir sambutan ini, semua peserta bersetuju untuk mengadakan sesi Scriptural Reasoning dalam masa yang terdekat untuk merasai pengalaman dalam dialog antara agama serta mengenali pelbagai kepercayaan, amalan, adat, dan budaya di Malaysia. Scriptural Reasoning (Penghujahan Kitab / Kefahaman Teks Agama) adalah sebuah program interaksi antara peserta dengan latar belakang agama yang berbeza untuk membaca dan membahas teks suci agama masing-masing bagi tujuan memahami perbezaan-perbezaan dalam setiap agama dengan lebih baik. 

Ini bersesuaian dengan moto program ini iaitu ke arah perbezaan faham agama yang lebih berkualiti atau better quality disagreement (http://www.scripturalreasoning.org/). Program Scriptural Reasoning ini telah bermula di Barat pada pertengahan tahun 1990 dan dipraktikkan sehingga ke hari ini di Universiti Cambridge dan Universiti Oxford (https://www.interfaith.cam.ac.uk/sr). Program ini telah diadakan sejak tahun 2016 di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) bersama wakil jemaah Kristian Katolik, Gereja St. Theresa Nilai untuk tujuan pendedahan serta latihan kepada para pelajar mengenai kepentingan dialog antara agama serta mengenali pelbagai kepercayaan, amalan, adat, dan budaya di Malaysia. Sehingga ke hari ini, program ini dirancangkan untuk diteruskan penganjurannya secara sistematik, efisien dan efektif di USIM dengan bahan rujukan dan maklumat yang lengkap. 

Sambutan Hari Antarabangsa Persaudaraan Kemanusiaan 2023 ini diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan minum petang. Majlis bersurai pada jam 6.15 petang. Pihak urus setia mengucapkan jutaan terima kasih buat semua yang menyokong dan membantu menjayakan sambutan Hari Antarabangsa Persaudaraan Kemanusiaan 2023 ini di Akidah and Global Outreach Centre (AGENT), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia. Sehingga bertemu lagi dalam sambutan yang seterusnya pada tahun 2024. 

Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali
Pensyarah Kanan,
Program Pengajian Akidah dan Agama,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia