PENJAGAAN KENDIRI SPIRITUAL ISLAM
UNTUK PETUGAS HADAPAN/RESPONDER PERTAMA MUSLIM

 

1. Konsep Spiritual Self-care Muslim

Self-care atau Penjagaan Kendiri adalah satu keupayaan individu untuk menjaga diri sendiri melalui aktiviti pembinaan kesejahteraan fizikal, spiritual dan emosional (Star, 2013; Skovholt & Trotter-Mathison, 2016). Ia dilaksanakan untuk mengelak dari mengalami impak psikologi akibat dari pendedahan berterusan kepada kesan sesuatu insiden bencana. Keupayaan self-care akan berlaku jika wujud kemampuan individu untuk beradaptasi positif (positive adaptation), mewujudkan keupayaan bingkas kembali (resilient), dan membangunkan strategi kemahiran daya tindak (coping skills) yang mampu mengimbangi dan seterusnya mengatasi tekanan yang dialami (James & Gilliland, 2013).

Didalam Islam, self-care ini wujud dengan konsep penyerahan diri dan memohon pertolongan kepada Allah selaras dengan firman Allah dalam Al-Baqarah (2:45) dan Al-Baqarah (2:153)

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk” (Al-Baqarah ayat 45)

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar” (Al-Baqarah ayat 153)

Ayat-ayat ini secara jelas menyatakan keperluan individu Muslim untuk memohon pertolongan dengan Allah dalam berhadapan dengan kesusahan (bencana). Proses self-care individu Muslim seharusnya mendukung konsep yang dinyatakan dalam ayat-ayat di atas iaitu memohon pertolongan dengan Allah dengan keadaan sabar dan melaksanakan solat. Ia juga pasti akan mendukung janji-janji Allah yang dinyatakan dalam As-Syarh (94:5-6)

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (As-Syarh ayat 5-6)

Dalam setiap kesedihan, bencana dan kesukaran yang dihadapi, umat Islam diajar untuk memohon pertolongan terus kepada Allah SWT. Janji Allah SWT sangat jelas bahawa pada setiap kesukaran itu pasti ada jalan keluarnya. Pertolongan Allah SWT itu terlalu luas. Ia datang dari sudut yang adakalanya tidak terjangkau dari persepsi pemikiran manusia. Pertolongan Allah SWT datang dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Petolongan Allah SWT datang dalam pelbagai bentuk dan rupa (Zakaria, Zakaria, Krauss, & Madon, 2019).

Ujian Allah

Musibah seperti bencana alam, bencana manusia dan wabak penyakit adalah antara ujian Allah SWT kepada hambanya. Allah SWT sentiasa akan menguji kehidupan hambaNya sebagai ukuran keimanan mereka terhadapNya. Ujian-ujian ini akan hadir dalam bentuk musibah yang pelbagai bentuk dan rupa. Ujian-ujian ini juga didatangkan oleh Allah SWT untuk melihat dan menilai kekuatan dan kesabaran manusia berhadapan dengannya. Sama ada kita suka atau tidak kita tetap akan diuji juga, sesuai dengan Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, Inna lillaahi wa innaa ilaihi raajiuun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Al-Baqarah ayat 155-157)

Apabila berhadapan dengan musibah manusia merasakan dia berhadapan dengan satu situasi yang dipanggil krisis, situasi yang mendorong individu befikir sejenak dalam mencari keputusan dalam kehidupan, situasi yang mewujudkan keperluan membuat pilihan utama dalam pelbagai pilihan yang diperlukan. Keperluan untuk memilih adalah cabaran paling besar, dan inilah sebenarnya yang dianggap sebagai ujian dalam Islam. Iaitu apabila seseorang perlu membuat pilihan antara bersabar dan redha menerima ketentuan Tuhan dengan mengeluh, bersedih, resah gesah, dan kecewa (jaza’ atau halu’a) ketika berhadapan dengan musibah.

Bukan musibah itu ujian kerana itu di luar kawalan seseorang. Musibah wabak penyakit umpamanya, ia adalah di luar kawalan mereka yang terlibat. Tetapi hak pilih adalah dalam kawalan manusia. Seseorang itu boleh memilih untuk sabar dan redha atau untuk mengeluh dan sedih serta gelisah ketika berhadapan dengan sesuatu musibah. Seperti yang telah dinyatakan dalam ayat sebelum ini, Allah SWT meminta hambanya bersabar dan redha serta melarangnya mengeluh, sedih gelisah dan kecewa. Allah SWT memberikan hak pilih (kuryatun ikhtiar) kepada manusia walaupun musibah itu bukan pilihan manusia sebagai cara Allah SWT menguji hambanya. Allah SWT juga mengurniakan kepada hambanya keupayaan untuk bersabar dan melakukan usaha positif yang dapat mengurangi kesan musibah yang dihadapi di samping keupayaan bersedih, kecewa dan resah serta memilih untuk bertindak negatif. Dalam situasi ini Allah SWT sudah pun menentukan apakah pilihan yang terbaik buat hambanya (Zakaria et al., 2019).

Oleh itu, manusia dilarang mengeluh merasa gundah dan bersedih kerana suatu musibah. Sesungguhnya Allah SWT telah menentukan segala takdir kepada perkara tersebut. Walau apa pun usaha dan upaya manusia untuk mengatasi musibah yang pelbagai rupa dan bentuknya, hak untuk menentukannya tetap mutlak milik Allah SWT. Ujian Allah SWT kepada manusia akan memberi impak bahawa pahala telah tercapai, dan dosa sudah terhapus jika mereka memilih untuk bersabar dan tidak mengeluh. Maka, berbahagialah orang-orang yang tertimpa musibah atas kesabaran dan kerelaan mereka.

“… Dan Allah Maha Adil dan Maha Penyayang, ujian-ujian yang diberiNya adalah mengikut kemampuan masing-masing insyaAllah. “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo′a): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma′aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir…” (Al-Baqarah ayat 286)

Sebagai manusia, kita perlu menyerahkan atau redha kepada semua insiden yang berlaku kerana ketentuan dari Allah SWT. Ini perlu dilakukan agar manusia itu tidak ditenggelami oleh sikap kebencian, penyesalan dan kebinasaan. Manusia perlu percaya dengan kebenaran qadha’ Allah SWT. Kepercayaan tersebut perlukan pengukuhan sebelum timbul rasa penyesalan. Dengan memilih untuk bertawakal- menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT, jiwa manusia akan tetap tenang dalam berhadapan dengan segala ujian. Tanpa menafikan sifat lemah manusia, ada kalanya terjadi insiden yang tidak pernah manusia inginkan, namun hal demikian ia merupakan ketentuan dan kehendak Allah SWT jua.

2.    Bagaimana Rasulullah berhadapan dengan ujian Allah

Bersandarkan kronologi Peristiwa Tahun Kesedihan, Peristiwa Taif dan Peristiwa Israk Mikraj yang berlaku dalam tahun ke 10 kerasulan baginda Rasulullah SAW (Al-Mubarakfuriyy, 1979), satu kesimpulan dari nilai implisit yang dapat dinyatakan dalam proses junjungan besar SAW menguruskan hal kesedihan baginda dan selanjutnya meneruskan perjuangan dakwah selepas tahun kesedihan adalah melalui tiga elemen penting iaitu; 1) SABAR, 2) SUCI HATI dan 3)SOLAT. Ketiga-tiga elemen ini telah digarap untuk diaplikasikan sebagai dasar dan metodologi utama dalam proses self-care Muslim. Ia mengambil kira ketiga-tiga elemen ini dalam proses self-care yang dilaksanakan wajar dan sesuai untuk dilaksanakan oleh barisan hadapan (frontliners) dan responder pertama (first responders) sesuatu insiden bencana.

Proses SABAR dalam Islam terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama adalah sabar dalam melakukan ketaatan. Kedua adalah sabar dalam meninggalkan maksiat dan terakhir sabar dalam menghadapi ujian. Pendekatan intervensi ini selaras dengan firman Allah:

“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar” (Al-Baqarah, 2: ayat 153).

Allah mengajarkan bahawa sabar dan solat akan memberi pertolongan dalam setiap urusan seseorang dalam hidupnya. Sebagaimana Allah memberi jaminan bahawa Dia akan sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar dalam waktu senang dan susah. Sehubungan itu, setiap kali berlaku musibah, bencana atau insiden kritikal, individu harus menampilkan sifat sabar terlebih dahulu sebagai tanda menerima ujian Allah dengan hati yang terbuka sebagai hamba Allah yang bertakwa.

Nilai seorang manusia sebenarnya terletak pada hatinya yang membentuk ketakwaan dan ketaatan kepada Allah SWT, menerusi amal soleh dan segala perbuatan baik. Iman yang bertapak menjadikan hati tempat yang subur dengan nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah lain. Hati juga memainkan peranan penting dalam mencermin dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seseorang. Konsep PENYUCIAN HATI yang berlaku ke atas Nabi Muhammad SAW sebelum peristiwa Israk Mikraj (Al-Mubarakfuriyy, 1979) merupakan intipati penting kepada umat Islam bahawa dalam berhadapan dengan apa jua ujian Allah, selepas bersabar, kita perlu menyucikan hati. Penyucian jiwa (hati) adalah proses yang sangat penting dalam Islam, Allah SWT berfirman:

“…dan jiwa serta penyempurnaan (ciptaanNya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya. Sungguh beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan merugilah orang yang mengotorinya.” (Al-Shams ayat 7-10).

Penyucian hati memerlukan rawatan yang sifatnya rohaniah. Kekuatan dalaman diri manusia menjadi sesuatu yang paling utama untuk diperkukuhkan supaya kekuatan rohaniah menjadikan sebab untuk semakin dekat dan hampir kepada Allah SWT. Proses penyucian hati yang paling dituntut dan lebih mudah dilaksanakan oleh individu adalah melalui zikir. Zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi akidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau yang seumpama dengannya. Bahkan ayat-ayat al-Qur’an banyak menyentuh tentang perintah supaya kita berzikir kepada Allah SWT antaranya:

“”(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Al-Ra`d 13: ayat 28)

Amalan zikir akan menguatkan hubungan manusia dengan Allah SWT. Ramai manusia yang mengalami tekanan jiwa dan merasa terbeban dalam ujian, musibah, bencana dan insiden kritikal kerana hubungan mereka dengan Allah SWT yang jauh. Oleh yang demikian satu kaedah terbaik dalam self-care Muslim ketika bencana ini adalah dengan banyakkan berzikir untuk menyucikan hati dan sekali gus merapatkan hubungan manusia dengan Allah. Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini bahawa dalam memohon pertolongan dari Allah SWT itu, manusia perlu melalui proses sabar dan solat.

3.    Burnout

Burnout (tiada istilah Bahasa Melayu yang sesuai untuk perkataan ini) merujuk kepada satu sindrom yang bermula perlahan (slow-onset) berpunca dari tuntutan pekerjaan seperti tambahan waktu bekerja, pengendalian klien (pesakit/pemandiri bencana), bebanan kerja bertulis, dan tuntutan produktiviti tinggi yang tidak membenarkan masa rehat yang mencukupi (Maslach & Jackson, 1981). Keadaan burnout dicirikan dengan; 1)keletihan emosi (emotional exhaustion) – hilang keinginan untuk berinteraksi dengan orang lain, 2) dipersonalisasi (depersonalization) – berperasaan negatif dan bertingkahlaku sinis), dan 3) penurunan pencapaian kerja (terutamanya kepada kelompok professional dgn tanggungjawab khusus) – sering menilai diri negatif khususnya dalam hal berkaitan pekerjaan.

Frontliners dan first responders berada dalam risiko untuk burnout kerana suasana tugas mereka secara semulajadinya memberikan tekanan peningkatan emosi. Burnout bersifat kumulatif (semakin bertambah), mengambil masa, dan akhirnya menjejaskan produktiviti dan kualiti kerja (Jacobson, 2012).

4.    Compassion fatigue

Compassion fatigue merujuk kepada istilah yang digunakan untuk menjelaskan pengalaman rasa kebimbangan kerana terdedah secara berterusan kepada penceritaan dan situasi tekanan trauma klien (pesakit/pemandiri). Ia adalah kesan negatif bekerja dengan individu yang sedang mengalami tekanan yang meliputi simptom tekanan trauma akut (acute traumatic stress) atau tekanan trauma sekunder (secondary traumatic stress) seperti terjahan pemikiran (intrusive thoughts), tingkah laku mengelak (avoidant behaviour), dan tingkahlaku rangsangan (arousal behaviour) seperti hypervigilance dan dissociative behaviour (Figley, 2002). Perlu diingatkan bahawa compassion fatigue boleh menyumbang kepada burnout.

Figley (2002) menegaskan bahawa compassion fatigue adalah berbeza dari burnout yang mana burnout ialah keadaan keletihan yang disebabkan oleh situasi emosi luar kawalan yang wujud dari pekerjaan dan bebanan kerja; manakala compassion fatigue pula adalah ganguan pemikiran akibat dari kelekaan dan penumpuan dengan kes-kes klien/pesakit dan membentuk identifikasi personal dengan tekanan trauma tersebut.

Simptom compassion fatigue lazimnya berkembang secara pesat permulaannya dan mempunyai perkaitan dengan sesuatu peristiwa.Simptom ini boleh meliputi perasaan takut dan bimbang, sukar tidur, terbayangkan atau terfikirkan insiden dan cuba mengelak hal yang boleh membawa ingatan terhadap insiden (Stamm, 2005).

5.    Amalan Untuk Self-care Muslim

Kesemua amalan yang dinyatakan dalam penulisan ini adalah amalan yang ditulis bersandarkan rujukan hadis yang sahih. Walaupun terdapat beberapa amalan-amalan lain yang lazim diamalkan dan diwarisi oleh ulama-ulama silam dan diwarisi oleh kumpulan-kumpulan pengamal tertentu di Malaysia, namun ia tidak dinyatakan disini. Amalan seperti ini perlu dipelajari terus dari murshid berkenaan secara tertib dan tidak boleh dinyatakan dalam penulisan umum seperti ini.

Seperti difahami, ia disebut sebagai amalan, bermaksud, ia harus dilaksanakan setiap masa dan bukan hanya dilaksanakan ketika menerima ujian Allah sahaja. Amalan ini seharusya sentiasa meniti dibibir atau sekurang-kurang dibaca selepas setiap solat fardhu. Setiap amalan ini perlu dilaksanakan secara istiqomah.

ZIKIR

1. AL-FATIHAH

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ(١)    ١

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٢) ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ (٣) مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (٤) إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥) ٥

  ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦) صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ(٧)

 

2. AL-IKHLAS DAN AL-MA’UDHATAN (Sahih Muslim No. 814 & An-Nasa’i 5428)

i) AL IKHLAS (3X)

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ (١) ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ (٢) لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ (٣) وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ ڪُفُوًا أَحَدٌ (٤)

 

ii) AL FALAQ (3x)

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ (١) مِن شَرِّ مَا خَلَقَ (٢) وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ(٣) ٣

وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّـٰثَـٰتِ فِى ٱلۡعُقَدِ (٤) وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ (٥) ٥

 

iii) AN NAS (3X)

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ (١) مَلِكِ النَّاسِ (٢) إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ (٣) مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ(٤) ٤

ٱلَّذِى يُوَسۡوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ (٥) مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ(٦) ٦

 

٦

ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ‌ۚ لَا تَأۡخُذُهُ ۥ سِنَةٌ۬ وَلَا نَوۡمٌ۬‌ۚ لَّهُ ۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ ‌ۗ مَن ذَا ٱلَّذِى يَشۡفَعُ عِندَه ۥۤ إِلَّا بِإِذۡنِهِ ‌ۚ يَعۡلَمُ مَا بَيۡنَ أَيۡدِيهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡ‌ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىۡءٍ۬ مِّنۡ عِلۡمِه ۦۤ إِلَّا بِمَا شَآءَ ‌ۚ وَسِعَ كُرۡسِيُّهُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ ‌ۖ وَلَا يَـُٔودُهُ ۥ حِفۡظُهُمَا ‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ(٢٥٥) ٢٥٥

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) (Al-Quran Al Baqarah 255)

 

 

لِّلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ ‌ۗ وَإِن تُبۡدُواْ مَا فِىٓ أَنفُسِڪُمۡ أَوۡ تُخۡفُوهُ يُحَاسِبۡكُم بِهِ ٱللَّهُ‌ ۖ فَيَغۡفِرُ لِمَن يَشَآءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَآءُ‌ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ (٢٨٤) ءَامَنَ ٱلرَّسُولُ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡهِ مِن رَّبِّهِۦ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ‌ۚ كُلٌّ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕكَتِهِۦ وَكُتُبِهِۦ وَرُسُلِهِۦ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٍ۬ مِّن رُّسُلِهِۦ‌ۚ وَقَالُواْ سَمِعۡنَا وَأَطَعۡنَا‌ۖ غُفۡرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيۡكَ ٱلۡمَصِيرُ (٢٨٥) لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡہَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡ‌ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَا‌ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَيۡنَآ إِصۡرً۬ا كَمَا حَمَلۡتَهُ ۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِنَا‌ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦ‌ۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَآ‌ۚ أَنتَ مَوۡلَٮٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡڪَـٰفِرِينَ(٢٨٦) ٢٨٦

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”. Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”. (Al-Quran Al-Baqarah 284-286)

 

DOA

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ مِن شَرِّ مَا خَلَقَ

(Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna dari keburukan apa sahaja yang Dia ciptakan), (HR. Muslim no. 2708)

 

بِسْمِ اللهِ الّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ ولَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

(Dengan nama Allah yang bila disebut, segala sesuatu di bumi dan langit tidak akan berbahaya, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) (HR. Abu Daud no. 5088, 5089, Tirmidzi no. 3388, dan Ibnu Majah no. 3869).

 

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. ٱلَّلهُمَّ أَجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَاخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهاَ

(Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Ya Allah, berilah ganjaran terhadap musibah yang menimpaku dan berilah ganti dengan yang lebih baik) (HR. Muslim no. 918).

 

ٱلَّلهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالكَسَلِ وأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ والْبُخْلِ وأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وقَهْرِ الرِّجَالِ

(Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kegelisahan, kesedihan, kelemahan, kemalasan, kebakhilan, sifat pengecut, hutang dan penindasan para penguasa).” (HR An Nasa’i no. 5449)

 

AMALAN UNTUK MENGEMBALIKAN TENAGA SELEPAS PENAT BERTUGAS

Sebelum tidur atau semasa rehat dari tugas, amalkan membaca:

33 kali Subhanallah سُبْحَانَ اللهِ)3)

33 kali Alhamdulillah ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ) 3)

34 kali Allahu Akbar اللهُ أَكْبَرُ)4)

(HR Sahih al-Bukhari 6318, Muslim 2727, at-Tirmidhi 3408)

 

RUJUKAN

Al-Mubarakfuriyy, S. S. al-R. (1979). Seerah Nabawiyyah. India: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Retrieved from https://muzir.wordpress.com/2013/10/02/dapatkan-kitab-terjemahan-ar-rahiq-al-makhtum-dari-saya/

Figley, C. R. (2002). Compassion fatigue: psychotherapists’ chronic lack of self care. Journal of Clinical Psychology, 58(11), 1433–1441. https://doi.org/10.1002/jclp.10090

Jacobson, J. M. (2012). Risk of Compassion Fatigue and Burnout and Potential for Compassion Satisfaction Among Employee Assistance Professionals: Protecting the Workforce. Traumatology, 18(3), 64–72. https://doi.org/10.1177/1534765611431833

James, R. K., & Gilliland, B. E. (2013). Crisis intervention Strategies (7th ed.). Belmont, CA: Brooks/Cole, Cengage Learning.

Maslach, C., & Jackson, S. E. (1981). The measurement of experienced burnout. Journal of Occupational Behaviour, 2, 99–113.

Sadler-Gerhardt, C. J., & Stevenson, D. L. (2012). When it all hits the fan: Helping counselors build resilience and avoid burnout. In Ideas and Research You Can (Vol. 1, pp. 1–8). Nashville, TN. Retrieved from http://www.counseling.org/resources/library/vistas/vistas12/Article_24.

Skovholt, T. M., & Trotter-Mathison, M. (2016). The resilient practitioner: Burnout and compassion fatigue prevention and self-care strategies for the helping professions: Third edition. The Resilient Practitioner: Burnout and Compassion Fatigue Prevention and Self-Care Strategies for the Helping Professions: Third Edition. https://doi.org/10.4324/9781315737447

Stamm, B. H. (2005). The ProQOL manual (the professional quality of life scale). Retrieved from www.isu.edu/- bhstamm

Star, K. L. (2013). The Relationship Between Self-care Practices , Burnout, Compassion Fatigue , and Compassion Satistaction Among Professional Counselors and Counselors-in-Training. Kent State University.

Zakaria, M. Z., Zakaria, N. S., Krauss, S. E., & Madon, Z. (2019). Tuhan Sumber Pertolongan. In Amla Mohd Salleh (Ed.), Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli dalam Pendidikan Kaunseling (p. 349). Negeri Sembilan: Universiti Sains Islam Malaysia.

 

Artikel ini ditulis oleh Dr. Mohd Zaliridzal Zakaria dan Hj Mohd Noor Ikhram Husin; dan disemak oleh Dr. Ahmad Najaa Mokhtar.

Dr. Mohd Zaliridzal Zakaria adalah Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

 

Hj Mohd Noor Ikhram Husin  adalah Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Psikologi , Jabatan Perkhidmatan Awam.

 

Dr. Ahmad Najaa Mokhtar adalah Pensyarah Kanan, Program Akidah dan Pengajian Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia