DUNIA MEDIA, PENGARUH KEPADA MASYARAKAT ISLAM DALAM PENYAMPAIAN DA’WAH: INTERAKSI SILANG BUDAYA ANTARA USIM & UIN SAIZU

Konsep pembinaan masyarakat bertamadun dari perspektif Islam kekal didasari dengan asas yang sama walau berlaku perubahan masa dan suasana dalam kehidupan manusia dari generasi ke generasi. Kemajuan teknologi telah menghasilkan inovasi dalam evolusi dan revolusi media komunikasi yang turut merubah budaya masyarakat dalam berinteraksi.

Perubahan yang positif dapat dimanfaatkan dalam menyebarkan kebaikan dan sebaliknya perubahan yang negatif membentuk kemunduran tamadun kemanusiaan dan memerlukan usaha da’wah dalam konteks yang berbeza bagi menegakkan syiar Islam di muka bumi ini sebagai tugas yang digalas oleh setiap Muslim. Perkara inilah yang dibincangkan secara ilmiah dalam memaknai  memorendum persefahaman (MoU) diantara Program Da’wah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Universitas Islam Negeri Prof. K.H. Saifuddin Zuhri Purwokerto (UIN SAIZU), Indonesia.

Perkongsian ini merupakan pengalaman penulis yang dilantik sebagai Visiting Scholar di UIN SAIZU yang berkolaborasi bersama Assoc. Prof. Dr. Nawawi M.Hum dari Program Studi Pascasarjana Komunikasi dan Penyiaran Islam bagi kursus Media, Budaya dan Masyarakat. Penulis mengupas perbincangan bersama mahasiswa dengan membawa perspektif da’wah sebagai titik utama perbahasan. Mahasiswa pula dibekalkan tugasan untuk berkongsi sudut pandang mereka berkenaan realiti, isu dan cabaran serta prospek da’wah di dunia media digital dengan menyoroti situasi di Malaysia dan Indonesia.

Realiti, Isu dan Cabaran Yang Kompleks

Malaysia dan Indonesia dikenali sebagai negara umat Islam yang berpengaruh besar di Asia Tenggara bahkan dalam kalangan Negara Islam juga. Walaupun kandungan media Islamik banyak dihasilkan dari dua negara ini, akan tetapi ianya berdepan dengan pelbagai cabaran yang berkaitan dengan sistem dan kepenggunaan yang menghalang keberkesanan mesej da’wah.

Antara isu utama yang dapat disimpulkan dari diskusi bersama mahasiswa adalah kebergantungan kepada sistem kapitalis, pengaruh dan kawalan kuasa parti politik pemerintah dalam saluran media utama dan gerakan da’wah, karakter figura agamawan yang mengelirukan, kepelbagaian ideologi yang mencabar kesucian Islam serta isu SARA (Suku Agama Ras dan Antara Golongan) yang saling menyebarkan kebencian dan mengakibatkan persoalan sosiokultural semakin rumit.

Dunia komunikasi media yang bersifat bebas turut menjadikan da’wah bersifat bebas sehingga sesiapa sahaja boleh bercakap tentang Islam tanpa merujuk kepada sumber dan konteks yang tepat. Kemunculan penda’wah yang tanpa diketahui latar belakang ini dengan kemahiran seni media yang menarik telah memancing golongan milenia yang hanya menurut tanpa memeriksa. Maka golongan seperti ini telah menjual nama Islam atas nama da’wah dengan memanipulasi untuk mencari pengaruh dan kepentingan tertentu. Malah ada segelintir yang membawa idea-idea radikal, terorisma dan sesat. Hal ini terjadi mungkin juga kerana generasi baru sudah agak tidak berminat hendak berguru dan melalui proses sanad yang betul dalam disiplin pengajian kitab-kitab turah kerana sumber tersebut sudah banyak boleh diakses dan dibincangkan tanpa sempadan. Justeru mereka belajar tanpa guru lalu menyesatkan pula orang lain.

Bahkan yang lebih parah apabila sebahagian asatizah yang menyalahgunakan saluran media untuk saling berdebat pada perkara yang bersifat furu’ tanpa mengikut adab. Ketegangan akibat isu khilafiyyah yang dibincangkan terlalu terbuka. Masyarakat awam yang tidak mahir dengan perbahasan ilmiah akan menjadi runsing, keliru dan menunjukkan sikap tidak minat pada Islam dan akhirnnya bermusuhan. Asatizah seperti ini telah membina pengikut yang ta’asub dan akhirnya menjadikan agenda penyatuan umat amat payah. Terdapat juga para penda’wah yang terlalu mengkomersialkan pendekatan da’wah di media sehingga mereka hilang karakter yang wara’ lalu mengikut arus dunia popular yang dilihat tidak kena sebagai seorang yang dikenali sebagai ‘ustaz’ mahupun ‘ustazah’.

Penulis juga turut berkongsi berkenaan realiti ‘sajian’ media penyiaran di saluran televisyen utama Malaysia yang masih dengan tema yang sama seperti hubungan cinta tiga segi, perkahwinan kontrak, dan percintaan tanpa sengaja selepas nikah yang berlatarbelakangkan hubungan anak orang kaya pemilik syarikat ternama. Batasan syari’at dilanggar, seni bahasa yang tidak mengangkat budaya serta waktu tayangan juga tidak mengambil kira waktu solat dan sebagainya. Hal yang sama juga berterusan berlaku di saluran televisyen Indonesia. Disamping itu editor-editor akhbar yang turut mensensasikan tajuk berita kadangkala melangkaui sempadan norma dan syariah serta menimbukan kekeliruan. Ini menunjukkan gerakan Islamisasi di Malaysia dan Indonesia masih belum kuat untuk mempengaruhi industri media tempatan dalam berkarya.

Tambahan lagi Islamic content bersaing dengan non-Islamic content yang dilihat lebih menarik dan kreatif, lebih ringkas dan tidak berat. Kerana itu aplikasi tiktok sebagai contoh lebih dikenali sebagai aplikasi berjoget walaupun kandungan ilmiah turut banyak dipersembahkan melalui aplikasi tersebut. Hal ini kerana pemegang taruh industri media adalah mereka yang membawa ideologi hedonisma, kapitalisma, liberalisma dan pelbagai lagi yang begitu mencabar untuk umat Islam. Justeru, hal sebeginilah yang menjadikan Malaysia dan Indonesia masih tidak begitu kuat dalam mempelopori industri media dalam membentuk budaya masyarakat yang sejahtera.  Bahkan, pemahaman terhadap Islamic atau Islami juga hanya berkisar sekadar luaran bukannya pada hakikat (substance). Justeru penampilan individu, kumpulan dan institusi kononnya nampak Islamik telah merosakkan imej Islam secara keseluruhan.

Tanggungjawab Kekal, Tetapi Strategi Berbeza

Da’wah adalah satu tanggungjawab abadi bagi Muslim sehingga ke hari kiamat. Mereka perlu saling membimbing untuk terus berada di dalam jalan yang diredai Allah. Umat Islam diikat dan bersatu dengan dasar aqidah sebagai sistem nilai kehidupan mereka. Manakala syariah adalah norma yang mengatur perilaku untuk diterjemahkan dalam bentuk akhlaq yang mulia. Maka dengan itu muamalah mereka adalah ukhuwwah Islamiyyah yang saling berpesan demi kebenaran untuk mencapai kesejahteraan bersama di dunia dan akhirat. Setiap urusan dalam kehidupan masyarakat Islam sentiasa mendepankan konsep Rabbani untuk memastikan mesej Islam yang universal menjadi seimbang untuk seluruh makhluk di muka bumi ini.

Sungguhpun matlamat da’wah itu kekal sama, pendekatan, strategi dan seni da’wah telah berbeza kerana budaya masyarakat dalam dunia komunikasi media digital hari ini juga berbeza. Mereka dikenali dengan nama warga maya atau netizen yang terdedah dengan pelbagai budaya popular. Pendekatan Islam harus disesuaikan dalam budaya mereka. Bersetuju dengan saranan Professor Datuk Dr. Zulkiple Abdul Ghani sebagai seorang yang dirujuk dalam disiplin da’wah dan media, keperluan da’wah dalam dunia hari ini adalah dengan menyemarakkan idea dan semangat da’wah bi al-nizam (da’wah melalui sistem) supaya masyarakat tidak hanya disajikan dengan data akan tetapi ilmu agar membentuk hikmah yang memandu kehidupan yang berkualiti.

Seruan Jihad Umat Islam Dalam Industri Media Digital

Jihad umat Islam dalam membekalkan Islamic content dan penguasaan kepada sistem industri media perlu dijadikan agenda utama kerana media sudah menjadi sistem sosial yang berpengaruh kepada manusia yang banyak mengubah dan mengawal cara manusia beinteraksi. Umat Islam harus memahami falsafah komunikasi Islam seterusnya membentuk pasukan yang professional dalam mengendalikan teknologi media dan akhirnya berjuang menghasilkan kandungan yang mengangkat mesej Islam dengan wajah yang sebenar selari dengan batasan syariat. Islamic content perlu dihidangkan secara berterusan dan berkesan di kesemua saluran media dan para asatizah perlu mahir dalam bidang teknologi untuk berda’wah supaya da’wah tidak dimanipulasi oleh orang yang salah. Sistem pendidikan yang bersifat integrasi antara ilmu naqli dan aqli seperti di USIM dan UIN SAIZU dapat melahirkan individu dan kumpulan yang berpendidikan fundemental yang kuat serta berkebolehan dalam pengendalian sistem teknologi dengan semangat da’wah yang tinggi. Ini kerana masyarakat hari ini perlukan penda’wah yang berilmu dan kreatif, memahami keperluan umat, mempunyai karakter yang menarik, mencipta pembaharuan, kekal sabar dan membawa imej Islam dalam kehidupan media sosial dan peribadi dengan niat hanya lillahi ta’ala.

Penghargaan:

Ketua Program Da’wah dan Pengurusan Islam, Dr. Kalsom Ali, Ketua Projek Kerjasama, Prof Madya Dr. Muhammad Khairi Mahyuddin dan Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Prof Madya Dr. Mohd Faizal Kasmani.

Penulis:

Dr. Nik Suhaida Nik Abdul Majid ialah Pensyarah Kanan, Program Da’wah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) & Visiting Scholar di Universitas Islam Negeri Prof. K.H. Saifuddin Zuhri Purwokerto (UIN SAIZU).

Gambar Sesi Perngkosian Dalam Talian: