Belum pun reda serangan virus pembunuh COVID-19 yang melanda, negara sekali lagi dikejutkan dengan kejadian bencana banjir yang disifatkan sebagai antara yang terburuk pada abad ini. Bencana ini telah meragut banyak nyawa dan turut memusnahkan rumah, kenderaan, perkakasan rumah, haiwan ternakan dan banyak lagi. Ia juga turut mengundang kepada pelbagai pelbagai penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, taun, demam kepialu (tifoid), disenteri dan Hepatitis A. Tambahan dari itu, tanpa kita sedar bencana banjir yang melanda ini telah memberikan kesan buruk terhadap kesihatan emosi dan psikologi mangsanya tidak kira sama ada golongan dewasa mahupun kanak-kanak. Terkini, sehingga 27 Disember 2021, menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, seramai 48 orang telah menjadi mangsa korban banjir di seluruh negara, manakala lima lagi masih hilang.

Tidak dinafikan pandemik COVID-19 yang menular di negara ini sejak tahun lalu memberi kesan kepada ramai pihak termasuklah kanak-kanak. Malah, pertindihan dengan bencana banjir yang berlaku baru-baru ini membuatkan situasi yang sedang dialami ini bertambah parah. Antara implikasi yang paling dibimbangi berlaku terhadap kanak-kanak adalah berkaitan tahap kesihatan mental mereka. Jika dibandingkan dengan golongan dewasa, kanak-kanak lebih mudah untuk terkesan dengan isu kesihatan mental kerana mereka masih mentah untuk menangani tekanan yang dihadapi. Situasi cemas dan getir semasa bencana alam akan membuatkan kanak-kanak mudah berasa risau dan bimbang serta menimbulkan rasa tidak selamat dalam diri. Hal ini disebabkab oleh daya kognitif mereka yang terhad yang seterusnya menyebabkan mereka lebih mudah berdepan gangguan mental apabila berdepan tekanan berbanding orang dewasa.

Ketika bencana banjir melanda, kanak-kanak juga lebih berisiko untuk terpisah daripada ibubapa mereka. Hal ini kerana, mereka mudah dihanyutkan dalam keadaan kelam kabut semasa banjir. Selain itu, perkara ini  turut disebabkan oleh tabiat semulajadi kanak-kanak itu sendiri iaitu mereka mempunyai tahap rasa ingin tahu (curiosity) yang tinggi dan gemar menjadi ‘adventurous’ sehingga mereka terlupa dengan keadaan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri mereka sendiri. Kanak-kanak yang masih lagi kecil ini terlalu mentah untuk menjadi terlalu peka dengan aspek keselamatan diri mereka.

Malah, golongan kanak-kanak juga adalah merupakan individu yang paling cepat terdedah kepada kesan-kesan perubahan dan iklim bencana banjir ini. Saiz badan mereka yang kecil membuatkan badan mereka gagal untuk meregulasi haba dengan baik sehingga menyebabkan mereka mudah kesejukan di kala iklim lembap dan sejuk ketika banjir. Mereka juga berisiko mendapat jangkitan bawaan air dan makanan kerana sistem imunisasi mereka yang masih belum mantap. Tambahan dari itu, sekiranya mereka dijangkiti, tahap kesihatan mereka lebih mudah merosot dan tempoh untuk sihat bagi mereka menjadi lebih panjang.

Dalam apa jua keadaan yang melanda, ibu bapa tidak boleh berkompromi dalam isu melibatkan kebajikan dan penjagaan terhadap kanak-kanak. Seharusnya, kita perlu berusaha lebih untuk melindungi kanak-kanak kerana ada di antara mereka yang bakal menjadi pemimpin hebat di masa akan datang. Kanak-kanak kecil ini tidak seharusnya dibiarkan tanpa pengawasan di kala musim banjir ini. Tika ini, hakikatnya mereka sedang dikelilingi dengan pelbagai ancaman dan mara bahaya termasuklah ancaman jangkitan COVID-19 dan ancaman bencana banjir. Hal ini tidak boleh dipandang enteng dan mudah oleh ibu bapa terutamanya kerana sekiranya ibu bapa lalai dan alpa, ia boleh mengundang maut.

Di samping itu, sokongan psikologi dan emosi terhadap golongan ini juga amat diperlukan terutama ketika fasa pascabanjir bagi memastikan perkembangan psikologi, emosi dan mental mereka tidak terganggu dengan bencana itu. Faktor tempat tinggal yang tidak selamat boleh mengganggu gugat tahap kesihatan mental kanak-kanak. Justeru, para ibubapa disarankan agar sentiasa mendampingi anak-anak dan berbual dengan mereka. Kata-kata peneguhan untuk memberi keyakinan kepada  mereka bahawa situasi yang berlaku ini berada dalam kawalan ibu bapa dapat memberi kelegaan emosi bagi kanak-kanak. Konklusinya, semasa sesuatu bencana berlaku, aspek kebajikan kanak-kanak haruslah diurus secara holistik di mana ia merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani dan sosial agar kanak-kanak dapat mengharungi ujian ini selamat.

Penulis: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia