6 Mei 2025 – Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) USIM telah kehilangan seorang tokoh akademik serta pemikir yang dihormati, Prof Madya Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali. Kehilangan beliau amat memberi kesan yang mendalam khususnya di kalangan warga dan mahasiswa/wi FKP yang pernah menuntut ilmu dengan beliau ataupun mereka yang pernah dilatih di dalam pelbagai program dan aktiviti luar kampus sepanjang hampir 15 tahun perkhidmatan beliau di USIM.

Dilahirkan pada 13 November 1971 di Alor Setar, Kedah, Allahyarham mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Iskandar Alor Setar, Kedah. Pada peringkat menengah beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Mahmud dari tahun 1984 hingga tahun 1989. Selepas menghabiskan peringkat menengah di Maktab Mahmud, beliau meneruskan pelajaran ke Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau sekarang dikenali sebagai Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya selama setahun. Seterusnya beliau melanjutkan pengajian Saraja Muda dalam bidang bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mesir dari tahun 1991 hingga tahun 1995.

Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang akidah dan pemikiran di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada tahun 1996-1997. Tidak berhenti di situ, beliau kemudiannya meneruskan pengajian ijazah doktor falsafah di dalam bidang yang sama iaitu akidah dan pemikiran di Akademi Pengajian Islam Univeristi Malaya pada tahun 2000 sehingga tahun 2002, di mana kajian kedoktorannya diterbitkan Penerbit USIM dengan tajuk “Pembangunan Islam di Malaysia dalam Era Mahathir Mohamad”.

Ketokohan dan sumbangan beliau di dalam bidang akademik di USIM dengan penghasilan lebih 15 buah buku dan puluhan makalah akademik dalam bidang dakwah, pemikiran tokoh Islam dan gerakan Islam, menjadikan beliau seorang yang prolifik dengan intelektulisme serta hikmah yang tinggi. Buku beliau berjudul “Yusuf al-Qaradawi dan Pengaruhnya dalam Masyarakat Islam di Malaysia” telah memenangi Anugerah Buku Terbaik Peringkat Kebangsaan kategori Bahasa Melayu pada 2012 anjuran Kementeri Pengajian Tinggi (KPT).

Sejak dari zaman universiti, kesungguhan dan komitmen almarhum dalam aktivisme kemahasiswaan terserlah. Beliau memulakan penglibatan di dalam pergerakan mahasiswa melalui Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ketika di Pusat Matrikulasi UIAM Petaling Jaya. Ketika di Mesir, beliau memimpin ABIM Mesir sebagai Yang Dipertua (1994-1995), dan sekembalinya dari Mesir, beliau meneruskan penglibatan aktivisme dakwah bersama ABIM Wilayah Persekutuan (1996-1998). Atas sumbangan yang penuh dedikasi, beliau seterusnya ditaklifkan sebagai Ketua Biro Dakwah ABIM Pusat (2001-2005), dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 2005 hingga 2007. Selepas itu, beliau terus istiqamah berkhidmat melalui platform Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), menyambung misi besar membina ummah dan membentuk kesedaran dan perubahan.

Atas keperibadian yang mudah didekati dan mesra bersama mahasiswa universiti, walaupun teruji dengan kesihatan yang kadang kala terbatas, keikhlasan dan semangat tinggi beliau dalam menyantuni keperluan mahasiswa berprogram dan beraktiviti untuk mengasah kemahiran insaniah tidak pernah terhenti. Beliau sentiasa hadir dengan pelbagai perancangan dan idelisme kemahasiswaan khususnya dalam memastikan mahasiswa FKP menjadi modal insan terbaik dengan kejelasan pemikiran Islam kontemporari serta mempunyai akhlaq Islamiyyah yang holistik.

Antara sumbangan beliau dalam pembangunan mahasiswa di FKP seperti penghantaran mahasiswa FKP ke Sabah untuk latihan industri (program ini dikenali Muallim Dai Sabah dan telah berlangsung selama 12 tahun), Bicara Dakwah Madani di FKP, Muslim Future Leaders Program, Khidmat Dakwah di Jabatan Penjara Kedah dan banyak lagi. Beliau juga komited menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak samada agensi kerajaan atau industri dalam negara atau luar negara demi meneroka peluang baharu untuk memberdaya kemenjadian mahasiswa fakulti di lapangan kerjaya sebagai juru bicara umat. Sumbangan beliau dalam menjalin kolaborasi di luar kampus memberikan banyak manfaat kepada fakulti khususnya dari aspek jaringan industri dan penajaan kewangan dalam memastikan setiap program atau aktiviti mahasiswa dapat berjalan dengan sempurna dan berimpak kepada semua yang terlibat.

Jaringan tokoh ilmuwan Islam di Timur Tengah seperti Almarhum Dr Wahbah Zuhaili, Almarhum Prof Dr Yusuf Al-Qardawi, Syeikh Dr Muhammad Sayed Tantawi dan ramai lagi mencerminkan kesungguhan Dr Rumaizuddin dalam merancang dan mengantarabangsakan fakulti dan mahasiswanya adalah contoh tauladan dalam pembentukan karakter, berfikiran da’i untuk membangun sifat karamah insaniyyah seperti yang selalu diungkapkan di dalam banyak syarahan dan karya beliau. Antara karya beliau yang penting dalam membentuk pemikiran dan keperibadian seperti Yusuf Al-Qaradawi dan Pengaruhnya Dalam Masyarakat Islam di Malaysia, Biografi Sarjana Muslim Timur Tengah Abad 19 dan 20, Pemikiran Muhammad Al-Ghazali, Fiqh Kenegaraan Islam dan banyak lagi. Penulisan beliau berlegar dalam aspek keutamaan mencorak pemikiran Islam yang waqi’iyyah serta membina karakter da’iyyah atau pendakwah yang sebenar.

Justeru, penganugerahan Anugerah Khas Ilmuwan Dakwah kepada Almarhum Prof Madya Dr Mohd Rumaizudin Ghazali oleh USIM bersempena Majlis Anugerah Perkhidmatan dan Inovasi 2024 pada 18 Julai 2025 merupakan satu pembuktian khidmat dan jasa bakti beliau dikenang dan diperakui universiti serta merupakan penghargaan bermakna kepada Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan. Adalah diharapkan dengan penganugerahan khas ini dapat menginspirasikan warga fakulti dan seluruh mahasiswanya untuk berkarakter murabbi yang dapat menyumbang khidmat dan bakti kepada pembangunan masyarakat dan negara ke arah yang lebih baik dan berimpak tinggi.

Saudara Muadz (tengah) mewakili Almarhum PM Dr Mohd Rumaizudin Ghazali menerima Anugerah Khas Ilmuwan Dakwah.

Dr Mohd Faridh Hafez Mhd Omar
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan