Masalah kesihatan mental di Malaysia dilihat kian meruncing di mana statistik menunjukkan trend peningkatan individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) meningkat lima kali ganda berbanding 2020. Statistik menunjukkan pada tahun lalu sebanyak 212,319 panggilan diterima oleh MHPSS berbanding pada tahun sebelumnya dengan 44,061 panggilan. Tambah gusar adalah apabila statistik tingkah laku bunuh diri juga berada pada kadar yang membimbangkan dan peningkatan ketara iaitu sebanyak 81 peratus pada tahun 2021 (1,142 kes) berbanding dengan 631 kes yang dilaporkan pada tahun 2020.
Terkini, menurut tinjauan yang dijalankan oleh Rakuten Insight di Malaysia pada Mei 2022 mendapati sebanyak 59 peratus daripada responden berumur antara 16 dan 24 tahun menunjukkan tahap tekanan atau kebimbangan yang lebih tinggi dalam tempoh 12 bulan yang lalu.
Apa yang menyedihkan apabila majoriti masyarakat Malaysia masih mempunyai stigma kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan mental. Disebabkan oleh stigma yang muncul ini, ramai antara penghidap masalah kesihatan mental malu untuk tampil mendapatkan bantuan kaunseling ataupun rawatan di mana-mana klinik ataupun hospital kerana tidak mahu dilabel sebagai ‘gila’. Justeru, kebanyakan daripada penghidap masalah mental ini cenderung mendiamkan diri dan memendamkan derita yang mereka alami tanpa dikesan oleh masyarakat mahupun ahli keluarga mereka sendiri. Dalam arus pemodenan masakini, stigma sebegini tidak seharusnya wujud. Setiap individu harus lebih terbuka dan berani dalam memperkatakan serta menyuarakan isu berkaitan masalah berhubung kesihatan mental ini. Usaha murni kerajaan dan beberapa badan-badan lain dalam merealisasikan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang baru sahaja disambut pada 10 Oktober lalu dan pelancaran Bulan Kaunseling Kebangsaan disepanjang bulan Oktober ini seharusnya membuka mata dan minda rakyat Malaysia dalam aspek kesihatan mental serta menambah kesedaran dan pengetahuan tentang program atau bantuan yang boleh diperolehi dalam berhadapan dengan isu kesihatan mental.
Umumnya, setiap individu akan sentiasa berhadapan dengan tekanan dalam kehidupan seharian. Tekanan ini dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu eustress dan distress. Eustress adalah kadar stres normal yang individu rasakan ketika menerima sesuatu rangsangan (tekanan) yang positif. Tekanan ini digelar eustress kerana ianya diyakini boleh diselesaikan dan boleh memotivasikan diri individu serta membuat hidup lebih menarik. Tanpanya, seseorang akan cepat bosan, cepat merasa puas dan kekurangan motivasi diri. Manakala, distress adalah kadar stres yang tidak lagi normal apabila menerima rangsangan (tekanan) yang berlebihan. Tekanan ini digelar distress kerana sesuatu tugas itu diyakini tidak boleh diselesaikan atau tidak mampu diselesaikan dan sekaligus boleh merendahkan motivasi diri. Distress membuat hidup lebih muram, tidak menyeronokkan dan menurunkan motivasi seseorang sehingga boleh menyebabkan gejala kerisauan dan kemurungan.
Gejala-gejala seperti sering menunjukkan emosi yang tidak stabil iaitu cepat marah, menangis sepanjang masa, rasa bersalah dalam diri yang berlarutan hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu, hilang minat untuk meneruskan aktiviti harian seperti mengelak daripada berinteraksi dengan keluarga, rakan dan masyarakat merupakan petanda awal bahawa individu ini perlu dibantu. Gejala lain seperti cenderung untuk mengasingkan diri, perubahan bentuk fizikal yang mendadak seperti kehilangan berat badan, corak tidur yang tidak menentu sama ada kurang tidur atau tidur secara berlebihan dan selalu letih juga merupakan tanda-tanda amaran bahawa individu ini perlu mendapatkan rawatan dan khidmat dari kaunselor dan pakar psikiatrik agar masalah atau penyakit yang dialami tidak melarat atau membawa kepada kecenderungan untuk membunuh diri.
Dalam berhadapan dengan tekanan ini, individu perlu bijak dalam mencari strategi daya tindak yang bersesuaian dan efektif bagi diri mereka. Antara langkah yang boleh diambil oleh individu Ketika berhadapan dengan stres adalah dengan mengamalkan 10 B iaitu bertenang, bernafas dengan dalam, berkata: Relakslah, beribadat, bercakap dengan seseorang, berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam dan berfikiran positif. Aktiviti seperti ini dipercayai mampu mengurangkan stress dalam jangka masa pendek. Selain itu, terdapat beberapa kemahiran yang perlu dipelajari oleh individu dalam menangani stres. Antaranya adalah kemahiran mengendali / mengawal kemarahan dan penyelesaian konflik, kemahiran berfikiran positif, kemahiran pengurusan masa, kemahiran penyelesaian masalah dan membuat keputusan, kemahiran teknik relaksasi serta kemahiran tegas diri (asertif). Namun begitu, harus diingat sekiranya gejala kesihatan mental yang dialami sudah berada di luar kawalan, individu haruslah segera mendapatkan bantuan serta nasihat daripada pakar seperti kaunselor atau pun psikiatrik. Bak kata pepatah ‘mencegah itu lebih baik daripada merawat’.
Penulis: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.