Kebelakangan ini banyak berita yang disebarkan dalam media sosial tidak benar.. Penyebaran berita yang tidak benar itu mengguggat keharmonian dan ketenteraman masyarakat. Antara contoh berita palsu yang tular ialah berita mengenai penolakan vaksin akibat berita yang tersebar menerusi aplikasi Whatsapp di Sinar Harian pada 28 Februari tahun ini. Ia melaporkan akibat berita palsu yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp menjadi antara faktor masyarakat Melayu di Pulau Pinang menolak pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada anak mereka.
Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr Norlela Ariffin dilaporkan berkata, selain itu, masih ramai dalam kalangan masyarakat Melayu yang ragu-ragu terhadap status vaksin walaupun mereka telah diberi penjelasan termasuk daripada mufti.
Menurutnya, liputan vaksinasi kanak-kanak menerusi Program Imunisasi Covid-9 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) dalam kalangan masyarakat Melayu di Pulau Pinang masih lagi rendah dan ia disebabkan oleh kurangnya keyakinan terhadap vaksin dalam kalangan mereka.
Kecenderungan untuk menyebarkan berita palsu ini menerusi aplikasi whatsapp kerana saingan antara rakan sebaya, siapa yang lebih dahulu memperoleh berita sensasi dan siapa yang lebih dahulu memviralkannya. Motifnya bukan wang tetapi lebih kepada siapa yang lebih baik dan siapa yang dapat berita itu dahulu dan siapa yang viralkannya.
Mengulas isu penyebaran berita palsu ini, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sains, Prof Madya Dr Sanusi Azmi menyatakan di kalangan Netizen boleh dibahagikan kepada dua golongan satu yang dikenali sebagai nar dan satu lagi sebagai nur.
Beliau menjelaskan yang dikatakan sebagai nar ini ialah asal kejadian syaitan daripada api, api bersifat panas dan hawa panasnya naik ke atas. Ia gemar kepada pujian dan suka menyebarkan berita yang tidak diketahui kebenarannya manakala golongan kedua ialah nur iaitu kejadian malaikat yang dijadikan daripada cahaya yang mana golongan ini lebih berhati hati menyebarkan berita yang diterima.
“Netizen kita boleh memilih sama hendak menjadi nar atau nur dalam menyebarkan berita palsu ini yang mana selidik dahulu kebenarannya bukan dapat berita terus sebar sahaja,” katanya dalam satu tazkirah anjuran Institut Sains Islam (ISI) di Masjid Usim, Nilai, baru-baru ini.
Mengikut penulis buku Tom Rosentiel dalam bukunya yang bertajuk “Blur: How to Know What to Believe in the Age of Information Overload”, menyatakan untuk menyemak sama ada berita itu palsu atau tidak, pembaca boleh bertanyakan enam soalan berkenaan.
Antaranya apakah jenis kandungan berita berkenaan? Kenali dahulu jenis kandungan yang dilihat.adakah ia cerita, atau adakah ia pendapat, adakah ia iklan atau apa yang sesetengah orang panggil pengiklanan asli yang dihasilkan syarikat iklan, adakah ia reaksi terhadap kandungan orang lain? Mengetahui perkara yang dilihat adalah langkah pertama untuk mengetahui perkara yang boleh anda percayai.
Langkah kedua ialah mengetahui sumber beritanya, siapa dan apakah sumber yang dipetik dan mengapa saya harus mempercayainya? Kandungan berita biasanya memetik sumber untuk maklumat yang diberikan. Ini ialah orang yang dipetik, atau dokumen atau laporan atau data yang dirujuk.
Tindakan ketiga ialah bukti: Apakah bukti dan bagaimana ia disemak? Bukti berkait rapat tetapi berbeza sedikit daripada sumber. Bukti adalah sumber menawarkan apa yang mereka ketahui. Ia bertindih dengan seberapa dekat seseorang dengan acara.
Yang keempat ialah interpretasi: Adakah fakta yang diketengahkan itu disokong oleh bukti bukti jelas? Jadi langkah keempat ini untuk mengetahui sama ada sesuatu itu boleh dipercayai ialah bertanya sama ada perkara utama ini masuk akal, dan sama ada kesimpulan itu disokong oleh bukti yang ditawarkan.
Dengan kata lain, fikirkan tentang kesimpulan yang dibuat. Adakah mereka mengikut logik dari apa yang telah dipetik? Kadang-kadang ini adalah soal beberapa kesimpulan yang masuk akal tetapi yang lain terlalu jauh. Adakah terlalu banyak kesimpulan dibuat daripada bukti yang tidak menyokong kesemuanya?
Tindakan kelima ialah Kesempurnaan: Apa yang kurang? Tanya pada diri sendiri berita ini apa yang kurang. Menjadi pengguna yang kritis adalah penting bagi bertanyakan soalan kepada diri sendiri perkara yang kurang difahami tentang sesuatu subjek
Langkah keenam ialah apakah pengetahuan yang diperolehi daripada perkara berkenaan.
Keenam enam langkah itu adalah penting untuk ketahui sebelum memutuskan sama ada hendak menyebarkan atau memadamkan berita itu.
Sehubungan itu, wajib bagi setiap Muslim meneliti kesahihan setiap berita diterima supaya ia tidak menjadi bahan fitnah serta tidak bersekongkol melakukan dosa besar itu.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
DR. HIZRAL TAZZIF HISHAM
Pensyarah Kanan
Program Komunikasi Media Baharu
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia