Program Akidah dan Pengajian Agama: Falsafah Berakar Umbi Akidah

//Program Akidah dan Pengajian Agama: Falsafah Berakar Umbi Akidah

NILAI- Graduan program Sarjana Muda Akidah dan Pengajian Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan mampu melahirkan Muslim professional yang dapat memberi penyelesaian terhadap kecelaruan pelbagai ideologi dan ajaran yang bertentangan dengan fitrah manusia.

Menurut Ketua Program Dr. Mohd Rosmizi Abd Rahman, Program Akidah dan Pengajian Agama di USIM berlainan daripada program seumpamanya di universiti-universiti yang lain.

“Program ini berbeza kerana ia menggabungkan antara pengajian tradisi dan pengajian moden. Program ini menawarkan 4 cabang utama iaitu akidah, tasawwuf, falsafah dan perbandingan agama. Di institusi pengajian tinggi yang lain, kebanyakannya hanya menumpukan kepada bidang Usuluddin sahaja”.

Tambahnya lagi, pelajar program ini turut mendalami bidang ilmu falsafah seperti ilmu falsafah Islam dan falsafah Barat termasuklah ideologi-ideologi seperti pluraIisme dan sekularisme.

Ini bagi menyedia dan melatih mahasiswa dalam menghadapi pelbagai cabaran akidah masa kini seperti isu murtad, liberalisme dan ajaran sesat.

Menurut Ketua Pelajar Mohammad Hazim Zaharin, program ini mempunyai kelebihan tersendiri kerana selain mendalami ilmu akidah Islam, pelajar-pelajarnya turut diajar memahami kepercayaan dan pegangan penganut agama-agama lain.

“Antara keistimewaan program ini ialah pelajar berpeluang mempelajari tentang agama-agama di dunia, pemikiran ulama Islam dan Barat, tasawuf, tariqat dan lain-lain. Ia bertujuan untuk membuka mata dan minda pelajar terhadap bidang pengajian agama” ujar beliau.

Di samping itu, pelajar juga dilatih untuk berkomunikasi dan dalam masa yang sama bertoleransi dengan penganut agama lain.

Antara subjek yang memupuk sikap bertolak-ansur dengan penganut yang berlainan agama adalah subjek Agama Dunia, Etika dan Peraturan Agama dan Dialog antara Agama.

Melalui subjek-subjek ini mereka akan diberi tugasan di mana ia memerlukan pelajar-pelajarnya melawat tempat-tempat ibadat dan melakukan kajian kes terhadap penganut agama tersebut.

Terkini, Program Sarjana Muda Akidah dan Pengajian Agama mempunyai pelajar sekitar 260 orang yang merangkumi tahun 1, 2, 3 dan 4.

Program ini turut mempunyai kepakaran tenaga pengajar tempatan dan antarabangsa yang berkelulusan dari universiti terkemuka seperti dari Universiti Al-Azhar, Cairo University, University of Edinburgh, Monash University, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Antara alumni lepasan Program Akidah dan Pengajian Agama ialah Da’i Hamidah Abdul Razak yang merupakan juara bagi program Da’i Pendakwah Milenia pada tahun 2015.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan syarat kemasukan ke Program Akidah dan Pengajian  Agama di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, layari https://www.usim.edu.my/admission/

Disediakan oleh:
Nur Syafida Mohd Khabri
Anis Syahirah Zulkifli
Muhammad Fahmi Mohammad Faizal
Nur Alia Mohd Suhaimi
Rabiatul Adawiyah Mohd Budiman
Noraini Mastura Baharuddin
Nur Syuhada Zulkifli
Siti Syakilah Mohd Khir

2019-04-02T16:30:44+00:00