Program Komunikasi lahir pengamal profesional Islam.

//Program Komunikasi lahir pengamal profesional Islam.

NILAI – Program Sarjana Muda Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuka peluang kepada pelajar aliran agama untuk menceburi bidang komunikasi bagi melahirkan lebih ramai media professional Islam.

Menurut Dr Rosninawati Hussin, ketua program komunikasi USIM, mahasiswa program komunikasi antara lain dilatih untuk menyampaikan dakwah secara lebih efektif melalui platform media massa yang berpengaruh.

“Berdakwah bukan sahaja terletak pada mereka yang berada di hadapan kaca tv, malahan, mereka yang bekerja di sebalik tabir, seperti jurukamera, pengarah dan lain-lain ,” ujarnya lagi.

Objektif program komunikasi adalah untuk melahirkan graduan yang memiliki pengetahuan dan kemahiran dan etika komunikasi yang berteraskan Islam serta mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli dalam pekerjaan mereka.

Menurut Muhammad Amirul Abd Aziz, Presiden Program Komunikasi, proses pengajaran dan pembelajaran turut dibantu dengan fasiliti peralatan yang lengkap dan terkini.

“Program ini antara lain menyediakan kemudahan bilik berita, studio TV dan konti radio mahasiswi mencungkil kemahiran mereka secara praktikal semasa sebagai persediaan ke industri nanti.”

Antara kursus yang ditawarkan dalam program ini adalah Pemberitaan Islam, Penerbitan Radio, Penerbitan TV, Videografi, Penyuntingan, Komunikasi Antara Budaya dan lain-lain lagi.

Apabila pelajar masuk ke tahun 3, mereka diberi pilihan untuk memilih bidang kewartawanan ataupun penyiaran, mengikut minat masing-masing.

“Pada tahap ini, pelajar bukan sahaja mempelajari secara teori, malahan mereka juga mempelajari ilmu daripada kerja-kerja praktikal dan juga latihan industri. Sebagai contoh, mereka akan diberi tugasan untuk membuat program television atau radio yang diterapkan dengan unsur-unsur Islamik, menghasilkan majalah dan akhbar, serta diajar tentang kemahiran penyuntingan teks, suntingan video dan sebagainya,” tambah Dr Rosninawati.

Menurut Muhammad Amirul, program ini turut mendedahkan para pelajar kepada pelbagai kemahiran insaniah yang amat diperlukan apabila mereka berada di industri nanti.

“Mahasiswa komunikasi turut berpeluang menganjurkan program seperti Festival Komunikasi (Commfest) dan aktiviti khidmat masyarakat di luar kampus bersama masyarakat orang asli di sekitar Negeri Sembilan. Program seperti ini dapat melahirkan rasa jati diri dan kebersamaan antara mahasiswa dan masyarakat,” ujar beliau.

Program Komunikasi telah berjaya melahirkan graduan yang menjadi pengamal di industri penyiaran dan akhbar seperti di TV Al-Hijrah, Utusan Malaysia, Harian Metro dan sebagainya.

“Komunikasi juga merupakan satu medium yang sering kita gunakan dalam perhubungan antara tuhan dan manusia, iaitu hablum minnallah (hubungan dengan Allah) dan hablum minnas (hubungan dgn Manusia). Program Komunikasi di USIM menggabungkan kedua-dua elemen ini. Dengan segala pendedahan subjek media dan subjek agama, ia membentuk satu aspek nilai tambah dan moral dalam media dakwah,” ujar beliau

Mohd Faithullah berkata nilai tambah ini menjadikan graduan mempraktikkan ilmu komunikasi yang berkesan dan pada masa yang sama menampilkan akhlak yang baik.

“Nilai tambah yang ada pada pelajar komunikasi di USIM, tidak ada pada pelajar universiti lain. Pelajar Komunikasi USIM boleh menjadikan diri mereka urban dan pada masa yang sama Islamik. Keyakinan yang ada dalam diri graduan komunikasi ini membolehkan mereka ke depan dan berhadapan dengan masyarakat di hadapan dan belakang lensa,” tambah beliau lagi.

Program Komunikasi turut menawarkan Ijazah Sarjana dan Kedoktoran bagi mereka yang berminat untuk meneruskan ke tahap yang lebih tinggi selepas menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Muda.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan syarat masuk ke program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, layari https://www.usim.edu.my/admission

Disediakan oleh:
MUHAMMAD FARHAN RAMLI
NURUL RAIHAN MOHD ALI
ATTIRAH AIMA RAHMAT
PUTERI WAHYU AHMAD GUZALI
AMIR ZULKIFLI
NURUL AISYAH SYAMILA ISMAIL
MUHAMMAD AMINUDDIN ADNAN
SITI BALQIS FARHANIS MOHD ANUAR

2019-04-02T16:20:57+00:00