Graduan Komunikasi Media Baharu mendepani budaya dan teknologi media digital

//Graduan Komunikasi Media Baharu mendepani budaya dan teknologi media digital

NILAI – Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bakal melahirkan graduan yang mempunyai pengetahuan serta kemahiran dalam bidang media digital serta menguasai perkembangan teknologi maklumat yang inovatif dan kreatif selaras dengan keperluan industri.

Menurut Ketua Program, Dr. Eizan Azira Mat Sharif, program ini mula diperkenalkan pada tahun 2016 dan menawarkan program pengajian selama empat tahun.

“Program ini kini mempunyai seramai 120 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Tahun 1, 2 dan 3. Selain itu, program ini juga memiliki pensyarah yang berpengalaman dalam bidang industri seperti pakar dalam bidang politik, undang-undang komunikasi, kewartawanan dan pengiklanan.”

Antara kursus yang ditawarkan kepada pelajar program ini ialah Memahami Khalayak Siber, Teori Media Baharu, Pengantar Grafik Laman Web, Reka Bentuk untuk Media Baharu, Amalan Kewartawanan atas Talian, Amalan Kewartawanan Rakyat, Media Baharu dan Politik, Produksi Animasi, Etika dan Undang-Undang Komunikasi Atas Talian dan pelbagai lagi.

Tambah beliau, mahasiswa Komunikasi Media baharu turut didedahkan dengan kesan dan impak penggunaan teknologi media sosial sama ada dari aspek psikologi, politik, sosio-ekonomi dan budaya.

Menurut pelajar tahun 3 Komunikasi Media Baharu, Mohd Nazirul Amin Shamzuri, program ini amat menarik kerana beliau berpeluang mempelajari berkaitan teknologi media yang sememangnya digunakan dan amat dekat dengan golongan muda hari ini.

“Program ini dapat membuka minda kami tentang kemahiran penggunaan media baharu yang terkini dan berbeza dengan amalan media konvensional. Subjek seperti Perhubungan Awam atas Talian, Kewartawanan atas Talian dan juga Penulisan Media Baharu sebagai contoh memberi persepktif berbeza dan unik terhadap praktis amalan penggunaan media pada masa kini.”

“Kami turut didedahkan dengan gerak kerja dan aktiviti seiring dengan kehendak industri yang bukan sahaja memfokuskan terhadap pembelajaran akademik, malah turut menguasai kemahiran teknikal seperti pengucapan awam, kemahiran menghasilkan video kreatif, teknik suntingan video dan kemahiran membangunkan laman web bagi mempersiapkan diri sebelum melangkah ke dunia pekerjaan, “ujarnya lagi.

Paling menarik, program ini turut mempersiapkan pelajar dalam mengendalikan platform media sosial terkini seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain secara efektif dalam membina kandungan media baharu yang asli, unik serta elemen-elemen kreatif yang boleh dimanfaatkan bersama masyarakat.

Bagi pelajar tahun 2 Komunikasi Media Baharu, Nur Safiraa Najwa bt Mustapa Kamal, pelajar-pelajar program ini berkemampuan untuk melakukan pelbagai kerja dalam satu masa.

“Dalam program ini kami telah dibiasakan untuk melakukan pelbagai kerja dalam satu masa seperti menulis skrip, menyunting video dan melakukan penggambaran. Namun begitu, kami tidak terasa terbeban dengan segala tugasan yang kami lakukan,” katanya.

Prospek kerjaya program Komunikasi Media Baharu ini amat fleksibel dan luas menjurus kepada pelbagai bidang dalam industri media dan komunikasi, termasuklah pembangunan kandungan digital, pengurusan media, perhubungan awam, animasi, politik, penyiaran, dan kewartawanan.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan syarat kemasukan ke Program Komunikasi Media Baharu di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, layari https://www.usim.edu.my/admission/

Disediakan oleh:
Norhadira Achok
Farah Fatin Zulaikha Mohd Roslani
Zahid Abidin Rohimi
Nurul Syafieqah Abdullah
Faiz Irsyad Nasrul Hisham
Nur Hanan Afiqa Mansor
Mohammad Nazirul Amin Shamzuri
Bulakon Bunkasem

2019-04-02T16:26:32+00:00