Dedah Rekaan Akhbar Kepada Pelajar

//Dedah Rekaan Akhbar Kepada Pelajar

Oleh: Anizah Jaabi (TBA 1)

NILAI, 11 Okt – Pensyarah Program Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjemput wakil Jabatan Pendidikan Berita Harian untuk memberi pendedahan kepada pelajar USIM tentang penghasilan ‘design’ (rekaan) yang baik dalam penerbitan akhbar.

Pengarah program, Dr. Siti Suriani Othman berkata, pendedahan ini adalah untuk membantu pelajar mendapat idea dalam menghasilkan design akhbar ‘USIM Today’.

‘USIM Today’ ini merupakan akhbar keluaran USIM yang dihasilkan oleh pelajar tahun 3 Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) dan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) yang mengambil pengkhususan subjek Pengurusan Media Cetak dan Sirkulasi.

Menurut Shuhazmir Selamat, Senior Designer Berita Harian (BH), Webmaster Pendidikan BH berkata, setiap rekaan akhbar mestilah berdasarkan ‘house style’ (format rekaan berita) organisasi tersendiri bagi menghasilkan setiap helaian akhbar dari segi ‘angle’ (sudut pandang berita), gaya penulisan dan rekaan bahan yang konsisten dan kemas.

“Rekaan bahan berita yang baik akan memberi kesan yang lebih bermakna kepada pembaca untuk menghayati berita yang dihasilkan,” katanya.

Tambah beliau, semua elemen dalam satu ‘design’ seperti ikon, teks, gambar, warna dan saiz ‘font’ (tulisan) juga perlu selaras untuk mengelakkan pembaca berasa keliru dengan maklumat berita yang ditulis.

“Bila kita pandai menyusun dan juga harmonikan setiap elemen dalam penerbitan akhbar, ia akan menarik dan membawa mata pembaca melihat satu persatu bahan berita kita,” katanya.

Encik Amir juga berkongsi kepada pelajar tentang perisian grafik yang digunakan seperti Adobe Photoshop dan InDesign untuk menyunting gambar, warna dan teks akhbar agar lebih kemas serta mampu menyampaikan makna berita secara tidak langsung.

Mengulas perkara itu, Suraya Zakaria, pelajar Bahasa Arab dan Komunikasi FPBU berkata, “Selepas mendengar perkongsian daripada Encik Amir, saya berasa teruja dan tidak sabar untuk belajar bidang grafik dengan lebih mendalam dan praktikkan dalam penerbitan USIM Today ini”.

Dr. Suriani menambah dengan berkata, “Saya berharap agar pendedahan dan bantuan daripada Encik Amir bukan sahaja memberi pengetahuan kepada kita, malah pelajar-pelajar juga dapat menghasilkan akhbar USIM Today yang mencapai taraf industri.”

2019-01-01T22:47:50+00:00