Sabar dalam Musibah COVID-19

Dr Marina Munira Abdul Mutalib

Wabak Covid-19 yang melanda dunia pada hari ini adalah suatu ujian besar bagi manusia sejagat. Ini kerana, virus COVID-19 ini adalah suatu pandemik yang menakutkan. Beratus ribu kematian dilaporkan akibat daripada serangan wabak ini di serata dunia, bahkan di negara-negara maju yang mempunyai peralatan kesihatan dan saringan yang serba canggih. Ini juga sebagai suatu petanda bahawa wabak ini tidak mengira bangsa, kulit rupa mahupun status ekonomi.

Apa yang berlaku di Malaysia juga tidak kurang getirnya. Pelbagai usaha dilakukan terutamanya bagi golongan barisan hadapan yang tidak jemu untuk memastikan wabak ini disaring dan diputuskan rangkaian demi rangkaian. Seperti beberapa negara lain, Malaysia juga menyahut seruan untuk duduk di rumah atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membantu menyekat penularan wabak ini. Secara kesimpulannya, seluruh sistem kehidupan manusia berubah secara mendadak daripada aspek keagamaan, sosial, ekonomi, hubungan dalam dan luar negara, budaya dan lain-lain. Norma kebiasaan hidup harian setiap individu juga terkesan dan terhenti seketika.

Sebagai umat Islam, seharusnya kita mengambil pengajaran dan hikmah daripada musibah COVID-19 ini. Dalam kata lain, setiap yang berlaku dalam kehidupan bagi orang yang beriman, sarat dengan hikmah dan bukanlah sia-sia. Amat merugikan jika seorang Muslim hanya beranggapan bahawa virus COVID-19 ini adalah jangkitan penyakit semata-mata. Bahkan, yang lebih utama ialah Allah memperlihatkan kepada manusia bahawa Dialah yang mempunyai kuasa untuk menghidupkan sesuatu, mencipta, mematikan dan melenyapkan. Manusia pula, yang berusaha sedaya upaya untuk mengelak daripada wabak ini sebenarnya lemah dan tidak berupaya melainkan berusaha dan berterusan memohon doa kepadaNya. Kesabaran dalam doa dan usaha inilah yang menjadi kunci tawakkal seorang hamba kepadaTuhan, al-Wakkil.

Menurut pandangan ulama Islam, sabar bermaksud menahan diri daripada berbuat sesuatu dan tidak mudah putus asa. Justeru, sabar boleh dikategorikan kepada beberapa bahagian. 1. Menahan diri daripada perasaan gelisah, tidak tenteram, berfikir perkara yang bukan-bukan yang membawa kepada stress/ konflik jiwa. 2. Menahan lidah daripada mengeluh, memaki, mencaci atau berkata sesuatu yang tidak berfaedah. 3. Menahan diri daripada tindakan menampar pipi, mengoyakkan pakaian. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, n.d.) Dalam konteks semasa, sabar bererti menahan diri dari melakukan sesuatu yang merosakan diri (dari sudut mental, fizikal,perkataan dan tindakan) atau juga tidak melakukan perkara yang sewajarnya untuk membendung wabak ini seperti bersikap sambil lewa dan berserah kepada Allah tanpa ada usaha.

Sabar juga amat dekat dengan amalan puasa. Sekarang umat Islam sedang menjalani ibadah puasa dalam masa yang sama diuji dengan virus ini. Perbuatan sabar boleh meningkatkan ibadah puasa seseorang. Dengan ujian COVID-19 ini, lebih-lebih lagi kita dituntut untuk banyak bersabar dan bertawakkal. Malah, ulama ketika berbicara tentang sabar memperihalkan ia menurut tiga (3) keadaan;

  1. Sabar dalam memenuhi perintah dan suruhan Allah. Sebagai contoh sabar dalam beribadat sebagai contoh bersolat, berpuasa, berzikir (mengingati Allah), bangun malam, dan sabar ketika memikul tanggungjawab atau tugas penting.
  2. Sabar dalam menjauhkan diri daripada larangan Allah terutamanya maksiat, menyebarkan fitnah, bercakap bohong, mengadu domba, mengambil hak orang lain dan sebagainya.
  3. Sabar ketika menerima ketentuan takdir yang berhubung dengan penderitaan atau kesulitan terutama berhadapan dengan ujian sakit, kemiskinan, kelaparan, kehilangan orang tersayang dan sebagainya.

Bersabar menempuh ujian yang mendatang adalah suatu ibadah yang sangat mulia dan dianggap penting. (Surah al-Insan, 76:12). Ini kerana tanpa persediaan dan pemahaman akidah yang betul boleh menjerumus umat Islam kepada kealpaan atau jatuh kufur. Sebagai contoh, Abu (bukan nama sebenar) diuji dengan kematian ahli keluarga yang mengidap virus COVID-19. Oleh kerana ujian ini sangat mencabar dan meruntun hati, Abu tidak dapat menerima ketentuan Allah SWT dan mula mempertikai takdir. Perbuatan Abu ini tidak seharusnya berlaku jika dia faham tentang takdir dan makna beriman dengan Qada dan Qadar. Setiap yang berlaku, berada dalam ilmu Allah, IradahNya dan KekuasaanNya. Justeru, sebagai hamba kita tidak boleh merasakan ujian yang datang itu sebagai musibah semata-mata lalu kita merasa tertekan, berfikiran negatif, stress dan lain-lain. Tetapi, Islam mengajar kita supaya berfikir dengan betul agar dapat menjalani dan menghadapi ujian dengan kekuatan sabar dan iman. Setiap ujian atau musibah, didatangkan bersama dengan keampunan dan kasih sayang Allah. Justeru, sewajarnya kita memperbanyakkan doa dan istighfar, agar Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita dan mengganjari kita melalui musibah dengan pahala dan kebaikan yang besar.

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran bahawa Dia akan menguji manusia dengan ujian dan kesukaran bagi menentukan tahap iman manusia sama ada bersyukur atau ingkar kepada-Nya (Al-Baqarah, 2: 155). Bagaimanapun, Allah SWT juga berjanji bahawa setiap kesulitan akan diiringi dengan bantuan dan kemudahan (As-Sharh, 94: 6). Ini menunjukkan kesenangan mahupun kesukaran yang dihadapi oleh manusia di dunia ini adalah bersifat sementara dan tidak akan kekal selamanya. Seseorang tidak akan sentiasa dirundung malang, ibarat kata pepatah “langit tidak selalunya mendung.” Begitulah juga dengan wabak COVID-19 ini yang tidak akan kekal selama-lamanya dan akan lenyap juga. Insya Allah!

 

Dr Marina Munira Abdul Mutalib adalah Pensyarah kanan Program Akidah dan Pengajian Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM