Prolog Dekan

 

ASSALAMUALAIKUM

Dengan lafaz kalimah suci Alhamdullilah seluruh warga Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) melafazkan kesyukuran kepada Allah subhanahu wataala atas segala anugerah, nikmat dan berkat yang telah dikecapi.  Selawat serta salam dipanjatkan kepada Nabi Muhammad saw, para keluarganya yang mulia dan para sahabatnya yang terbilang serta para pengikutnya sehingga ke akhir zaman. Selamat datang ke laman sesawang FKP.

Penubuhan FKP berdasarkan keyakinan dan rasa tanggungjawab bahawa bidang pengajian yang berteraskan ilmu Islam perlu dikembangkan dan diintegrasikan dengan aliran pemikiran dan budaya keilmuan semasa untuk dimanfaat oleh manusia sejagat.  Justeru itu, semua program pengajian sama ada pada peringkat prasiswazah mahupun pascasiswazah dibangunkan melalui integrasi antara teras ilmu naqli dan aqli yang bertepatan dengan shariat.  Sehubungan itu, misi FKP adalah untuk menjadi sebuah fakulti ternama dan pusat rujukan dalam bidang dakwah, pengurusan Islam, kaunseling, komunikasi serta aqidah dan pengajian agama.  Program-program pengajian direka bentuk untuk memenuhi keperluan industri dan pihak berkepentingan di seluruh Negara.  Justeru, aktiviti keilmuan di FKP tidak terbatas kepada memahami dan mengupas teori semata-mata, tetapi mengaplikasikannya di organisasi atau dalam masyarakat.  Bagi mencapai misi tersebut, FKP telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, peralatan pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan teknologi terkini seperti makmal kaunseling, studio radio, studio tv, bilik suntingan, kamera rakaman dan mimbar ucapan awam.

FKP kini mempunyai kekuatan 67 ahli akademik yang berkelayakan tinggi dengan pelbagai latar belakang bidang kepakaran yang sentiasa bersedia dan komited untuk membimbing dan menyelia pelajar sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).  Ahli-ahli akademik di FKP yang sentiasa bergiat aktif dalam penyelidikan, perundingan dan penerbitan telah berjaya membentuk ekosistem kesarjanaan di FKP.  Bagi menyediakan landasan kukuh untuk mengaplikasikan ilmu yang diteroka dan dibangunkan, FKP telah membina jalinan kerjasama strategik dengan pihak luar seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Lembaga Tabung Haji, TV Al-Hijrah, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Nurul Yaqeen (YNY) dan Malaysian Press Institute (MPI).  FKP akan terus berusaha untuk memperbanyakkan jalinan kerja sama pada masa akan datang.

Selamat melayari laman sesawang FKP.  Diharapkan pengunjung mendapat maklumat yang berguna melalui sesawang ini.  Kami di FKP sentiasa menunggu dan bersedia untuk menerima anda sebagai keluarga FKP sama ada sebagai pelajar, penyelidik atau ahli akademik.  Semoga anda menyahut pelawaan kami untuk bersama-sama FKP dalam memartabatkan integrasi ilmu aqli dan naqli yang sekaligus dimanfaatkan oleh ummah.

 

Sekian.

 

Salam hormat,

 

PROFESOR MADYA DR. MOHD YAHYA BIN MOHAMED ARIFFIN

Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

 

 Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-7988182/8184, Faks: +606-798 8252 , Emel : Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.