Graduan Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam USIM Pakar Dua Bidang Ilmu

//Graduan Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam USIM Pakar Dua Bidang Ilmu

Nilai: Program Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menawarkan program pengajian unik yang menggabungkan dua bidang ilmu.

Menurut Dr. Kalsom Ali, pensyarah kanan program tersebut, graduan yang dilahirkan dari program ini bukan sahaja mampu menyampaikan Dakwah Islam dengan efektif tetapi juga mampu menguasai bidang pengurusan.

Ini kerana menurut beliau, kemahiran dalam pelbagai bidang adalah sangat diutamakan dalam sektor pekerjaan pada zaman millenia ini.

“Dalam konteks dakwah dan pengurusan Islam ini ia menggariskan penghasilan para daie yang celik ilmu yang mendalam tentang pengurusan diri mereka, individu di bawah tanggungjawab mereka dan organisasi yang mereka terajui dengan bijaksana.”

“Keistimewaan program ini terletak pada penawaran subjek dakwah seperti Al-milal wa al-nihal, Al-firaq al-islamiyyah, Hifz al-nusus, gerakan misionari semasa dan Adab Al-ikhtilaf dan lain-lain.”

“Hal ini mampu memberikan kupasan ilmu berkaitan adab, etika, serta panduan Islam bagi seorang pendakwah dan organisasi dakwah serta pendidikan tentang gerakan dakwah bagi agama lain selain Islam,” tambah beliau lagi.

Graduan program ini juga dilatih agar memiliki pengetahuan ilmu aqli dan naqli dalam pembangunan masyarakat serta menjadi seorang pemimpin yang mampu bekerja secara berpasukan dalam melaksanakan aktiviti dakwah.

Menurut seorang lagi pensyarah program Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, Dr Khairunneezam Mohd Noor, graduan yang disasarkan memiliki tahap professionalisme yang tinggi dan boleh bekerja secara jama’i dalam melaksanakan aktiviti dakwah.

“Setiap pelajar perlu memenuhi kriteria sebagai seorang pekerja muslim dalam  menghadapi alam pekerjaan”Sementara itu, menurut Muhammad Danial Mohamad Zahari, pelajar tahun 3 program tersebut, mereka bukan sahaja mampu mengaplikasikan subjek Dakwah Tatbiqi di luar usim malah mereka berpeluang untuk menguruskan program seumpamanya.

“Program ini mengajar kami mengenai kaedah menyebarkan dakwah dan pengurusan dimana akhirnya nanti kami boleh melibatkan diri dalam pekerjaan yang menjurus kepada pengurusan sumber manusia yang dalam masa yang sama menyebarkan dakwah dalam menguruskan sesuatu organisasi syarikat.”

Antara alumni terkemuka program ini adalah ahli Lembaga Pengarah USIM, Mohd. Hariri Mohammad Daud yang juga berkhidmat sebagai  Penolong Pengarah Bahagian Maqasid Syariah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Selain itu, program ini turut melahirkan pendakwah terkemuka seperti Da’i Hakim yang juga juara  program Pendakwah Nusantara Musim Ke-5.

“Program dakwah ini mendorong saya untuk menjadi salah seorang pendakwah yang berkebolehan dan berpengalaman. Adalah sangat penting program dakwah disatukan dengan pengurusan kerana ia membantu menyusun kerja-kerja dakwah dengan lebih sistematik. Ini kerana dakwah yang terbaik adalah dakwah yang bersistematik,” ujar beliau.Program Sarjana Muda dakwah dan pengurusan Islam adalah antara program terawal di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

Setakat ini terdapat lebih 330  pelajar aktif  terdiri daripada tahun 1, 2 dan 3 di dalam program ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai syarat kemasukan ke Program Dakwah dan Pengurusan Islam di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, layari https://www.usim.edu.my/admission/

Disediakan oleh:

Farah Nabihah Rozaimi
Zuhairah Husna Zazali
Nur Afida Deraman
Siti Nur Rahmah Rahmat
Siti Najihah Jamaluddin
Mariam Amelia Abu Kasim
Mohd Nazrin Azmi
Muhd Faiz Mohd Ali
2019-04-02T16:38:59+00:00